Selasa, 25 Mei 2010

MANHAJ DAKWAH NABI IBRAHIM DI DALAM AL-QURAN

MANHAJ DAKWAH NABI IBRAHIM DI DALAM AL-QURAN

KATA PENGANTAR

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan keizinanNya kajian ini berjaya disempurnakan di dalam tempoh masa yang ditetapkan. Sesungguhnya tiada sebarang urusan yang mampu diselesaikan kecuali dengan kehendak dan keizinan dariNya semata-mata.

Saya memilih untuk menulis di bawah tajuk Manhaj Dakwah Nabi Ibrahim Di Dalam Al-Quran. Ia adalah berdasarkan kepada pemerhatian kepada suasana masyarakat yang jelas sekali memerlukan kepada lahirnya golongan pendakwah yang boleh berperanan dengan baik dalam menyebarkan mesej dakwah. Namun, di dalam menyebarkan dakwah, golongan pendakwah sendiri sering terpesong daripada manhaj-manhaj dan kaedah-kaedah yang ditetapkan oleh Islam sendiri. Hasilnya, dakwah tidak berjaya disampaikan dengan sempurna atau pendakwah sendiri gugur di dalam perjalanan dakwah. Senario ini akhirnya menjadi satu fenomena biasa di kalangan masarakat menyebabkan kefahaman sebenar tentang Islam tidak berjaya dipupuk dengan baik. Faktornya terlalu banyak, antaranya ialah kegagalan memahami method dakwah seperti yang disarankan oleh Al-Quran sebagaimana yang diamalkan oleh para nabi. Oleh kerana itulah, saya berusaha untuk sedikit sebanyak mencungkil permata-permata pengajaran berharga yang boleh diambil daripada kisah dakwah nabi-nabi khususnya Nabi Ibrahim yang terkenal dengan cubaan dan ujian-ujian yang dihadapi di dalam hidupnya. Harapan saya ialah semoga usaha yang kecil ini memberikan sedikit sumbangan kepada peradaban ilmu dan sekurang-kurangnya memberikan sedikit panduan kepada golongan pendakwah masa kini.

Semoga usaha yang kecil ini dikira sebagai amalan yang baik dan memperolehi ganjaran di sisi Allah SWT.

- Ahmad Fadhli bin Shaari (9 Mac 2003)


SINOPSIS

Di samping memenuhi keperluan bagi mendapatkan diploma Dakwah Wal Qiadah, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), kajian ini juga bertujuan untuk mengenalpasti manhaj-manhaj dakwah yang digunakan oleh Nabi Ibrahim ‘alahissalam sepanjang dakwahnya kepada manusia sebagaimana yang disebut di dalam Al-Quran. Manhaj-manhaj dakwah ini sekalipun bersumberkan daripada sumber yang sama dengan nabi-nabi yang lain, ia tetap mempunyai keistimewaan yang tersendiri jika dibandingkan dengan nabi-nabi yang lain. Ini disebabkan pelbagai faktor termasuklah suasana yang melingkungi penghidupan Nabi Ibrahim dan kerangka pemikiran masyarakat pada masa itu.

Manhaj dakwah Nabi Ibrahim sebagaimana yang akan dihuraikan di dalam kajian ini dianggap penting untuk dikenalpasti kerana kebanyakan daripada anggota masyarakat yang membaca Al-Quran dan mendengar kisah-kisah sejarah nabi-nabi, tidak menganggap bahawa pengajaran-pengajaran ini sebagai inti utama di dalam pengkisahan sejarah nabi-nabi. Adalah menjadi satu tabiat masyarakat yang hanya suka mendengar dan menghayati sebarang cerita yang disampaikan termasuklah oleh Al-Quran tanpa mengambil pengajaran untuk dijadikan panduan di dalam hidup seharian. Apatah lagi apabila ia melibatkan manhaj dakwah para nabi yang jarang sekali dicungkil dan dikenalpasti.

Manhaj-manhaj dakwah ini sesudah dikenalpasti dan disenaraikan diharap dapat dijadikan panduan kepada para pendakwah yang sentiasa bergerak di dalam mana-mana gerakan dakwah untuk menyampaikan mesej mereka kepada masyarakat. Sekalipun suasana dan situasi yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim tentunya jauh berbeza daripada situasi yang dihadapi oleh para pendakwah pada masa sekarang, manhaj-manhaj yang digunakan oleh baginda tetap relevan untuk dijadikan sebagai panduan dan asas dalam menyebarkan mesej dakwah.

Secara umumnya, kehidupan Nabi Ibrahim terbahagi kepada dua peringkat utama iaitu semasa baginda berada di negeri asalnya iaitu Iraq dan yang kedua ialah semasa berada di Palestin. Di dalam kajian ini, saya tidak berhajat untuk menyentuh secara langsung tentang kehidupannya di Palestin. Ini adalah memandangkan kehidupannya di Palestin sebagaimana yang disebut di dalam Al-Quran lebih menjurus kepada cubaan dan ujian terhadap diri dan keluarganya sendiri. Oleh yang demikian, kajian ini akan lebih menumpukan terhadap kehiduapn Nabi Ibrahim semasa di Iraq dan cubaan-cubaan yang dihadapi oleh baginda sebagai seorang individu dalam berdepan dengan satu sistem jahiliyyah yang mendasari kerangka pemikiran kaumnya. Tambahan pula, jika diikuti penceritaan tentang kisah Nabi Ibrahim di dalam Al-Quran, dakwah Nabi Ibrahim terhadap orang lain lebih tertumpu kepada peringkat pertama di dalam kehidupannya. Ia termasuklah dakwah kepada ayah, kaum dan pemerintah di zamannya.

Kajian ini terbahagi kepada lima bab. Di dalam bab yang pertama, saya khususkan kepada pengenalan tentang diri Nabi Ibrahim secara umum sebagaimana yang disebut di dalam kitab-kitab sejarah. Ini merangkumi nama dan keturunan keluarganya, negeri tempat baginda diutuskan dan juga pemerintah di zamannya. Perlu ditegaskan bahawa kebanyakan daripada fakta-fakta yang melibatkan Nabi Ibrahim secara peribadi tidak disahkan oleh mana-mana nas samada Al-Quran mahupun hadis, tetapi hanyalah merupakan pandangan-pandangan peribadi tokoh-tokoh sejarah berdasarkan kajian-kajian yang dilakukan oleh mereka.Di dalam bab yang pertama ini juga, saya senaraikan perbincangan tentang Nabi Ibrahim di dalam Al-Quran yang disebut namanya berulang kali oleh Allah SWT. Ini merangkumi jumlah sebutan nama baginda dalam setiap surah dan jumlah ayat yang mengandungi nama baginda di dalam Al-Quran. Ia diikuti dengan huraian secara ringkas bidang perbincangan pengkisahan Nabi Ibrahim yang disebut di dalam surah tersebut. Bagaimanapun, tidak semua surah yang menyebut nama Nabi Ibrahim dinyatakan satu persatu pengkisahannya di dalam bab ini. Ini kerana terdapat surah-surah tertentu yang hanya menyebut nama Nabi Ibrahim secara sepintas lalu di dalam satu ayat sahaja. Kebanyakan ayat-ayat sebegini tidak berperanan sebagai pengkisah tetapi hanya menyebut Nabi Ibrahim sebagai contoh ikutan kepada umat Islam.

Di dalam bab kedua, saya fokuskan kepada dakwah Nabi Ibrahim kepada ayah dan kaumnya sebagai permulaan kepada episod-episod lain di dalam kisah baginda. Di dalam Al-Quran, tempat terawal yang menceritakan tentang dakwah Nabi Ibrahim kepada ayah dan kaumnya ialah di dalam Surah Al-An’am iaitu dalam juzuk yang ketujuh. Manakala di dalam juzuk pertama sudah disebut kiah Nabi Ibrahim membina di Baitullah di Makkah. Walau bagaimanapun, turutan pengkisahan di dalam Al-Quran ini tidaklah bermakna turutan episod di dalam kehidupan Nabi Ibrahim. Berdasarkan kepada tafsiran terhadap ayat-ayat yang menceritakan tentang baginda di dalam Al-Quran, dapat disimpulkan bahawa mesej dakwah yang pertama yang disampaikan oleh Nabi Ibrahim ialah kepada ayahnya sendiri dan kemudian kepada kaumnya.

Di dalam bab ini saya senaraikan beberapa manhaj dakwah Nabi Ibrahim semasa berdepan dengan ayah dan kaumnya mengikut urutan peristiwa dan penyampaian dialog sebagaimana yang diceritakan di dalam Al-Quran. Anatara yang uatam ialah manhaj yang digunakan oleh Nabi Ibrahim sebagai seorang anak dan dalam masa yang sama juga sebagai seorang rasul di dalam berdepan dengan ayahnya yang merupakan seorang penyembah berhala di mana ia adalah merupakan salah satu daripada ciri-ciri keistimewaan yang tidak terdapat di dalam kisah nabi-nabi yang lain. Begitu juga dengan kaedah penjelasan terhadap ketuhanan Allah SWT yang diambil oleh Nabi Ibrahim semasa berdepan dengan kaumnya yang merupakan penyembah cakerawala. Hujjah demi hujjah dibentangkan supaya dapat mempengaruhi pemikiran kaumnya agar dapat menentukan akidah yang sejahtera.

Di dalam bab ketiga, saya khususkan kepada manhaj-manhaj dakwah yang digunakan oleh Nabi Ibrahim semasa berdepan dengan seorang pemerintah atau raja yang mengaku mempunyai kuasa ketuhanan. Pemerintah tersebut yang tidak disebut namanya di dalam mana-mana nas sahih turut mengaku bahawa dirinya mempunyai kuasa untuk menghidupkan serta mematikan. Jika diperhatikan, Nabi Ibrahim tidak sahaja merupakan seorang pakar di dalam perdebatan mengenai soal-soal ketuhanan, malah baginda juga merupakan seorang yang berani berdepan dengan raja tersebut yang tentu sekali mempunyai kekuasaan dan boleh menguatkuasakan apa sahaja bentuk hukuman dengan serta merta.Seterusnya di dalam bab keempat, saya peruntukkan untuk menyenaraikan manhaj-manhaj dakwah yang digunakan oleh Nabi Ibrahim di dalam peristiwa penghancuran berhala-berhala sembahan kaumnya. Peristiwa yang terkenal ini mengandungi pelbagai babak yang bermula dengan perancangan Nabi Ibrahim yang berjaya mengelakkan diri dari menyertai hari raya kaumnya. Ia diikuti dengan tindakan Nabi Ibrahim menghancurkan semua berhala-berhala yang disembah oleh kaumnya kecuali berhala yang paling besar. Seterusnya Nabi Ibrahim berdepan dengan kaumnya dalam satu mahkamah khas bagi menyiasat peristiwa yang berlaku ke atas berhala-berhala tersebut. Di sinilah berlakunya proses saling berhujjah antara Nabi Ibrahim dengan kaumnya. Al-Quran menceritakan bahawa manhaj dakwah yang digunakan oleh Nabi Ibrahim sebenarnya sudah mendapat kejayaan namun kekufuran dan kedegilan menutup pintu hati kaumnya untuk menerima kebenaran. Peristiwa ini berakhir dengan hukuman mati yang dijatuhkan kepada Nabi Ibrahim dengan dibakar hidup-hidup. Sekali lagi Nabi Ibrahim memperlihatkan keyakinannya kepada Allah SWT dengan tidak sedikitpun gentar malah bertawakkal sepenuhnya kepada Allah SWT. Seterusnya Nabi Ibrahim diselamatkan oleh Allah SWT daripada hangus terbakar di tengah-tengah api yang marak menjulang. Kesemua babak di dalam peristiwa penghancuran berhala dan hukuman yang diterima oleh Nabi Ibrahim ini memperlihatkan satu persatu manhaj yang digunakan oleh baginda di dalam berdepan dengan kaumnya.

Akhir sekali, saya senaraikan di dalam bab kelima beberapa kesimpulan yang boleh diambil daripada pengkisahan tentang proses dakwah Nabi Ibrahim kepada kaumnya yang disebut di dalam Al-Quran. Semuanya memperlihatkan contoh terbaik yang sepatutnya dijadikan panduan oleh para pendakwah pada zaman sekarang. Seandainya ia dapat dijadikan panduan di dalam menjalankan gerak kerja dakwah, pastinya mesej dakwah dapat disampaikan dengan lebih berkesan kepada sasaran dakwah.

PENGENALAN NABI IBRAHIM AS DAN PERBINCANGAN TENTANGNYA DI DALAM AL-QURAN SECARA UMUM

Nama dan keluarganya

Baginda ialah Ibrahim iaitu bapa segala nabi (abul abiya’) (Solah Al-Khalidi, 1997 1 : 311). Gelarannya ialah Ibrahim Khalilullah berdasarkan kepada firman Allah SWT (An-Nisa’ : 125) :

Maksudnya :

dan Allah menjadikan Nabi Ibrahim kesayanganNya.

Baginda diutuskan kepada penduduk negeri Iraq yang menyembah berhala dan bintang-bintang (Solah Al-Khalidi, 1997 1 : 311). Menurut pendapat ahli sejarah, Nabi Ibrahim AS diutuskan kepada penduduk Harran di Damsyik yang menyembah bintang-bintang bertujuh dan juga berhala-berhala. Diceritakan pada masa tersebut, semua penduduk di muka bumi kufur kepada Allah SWT kecuali Nabi Ibrahim, isterinya Sarah dan anak saudaranya iaitu Nabi Lut AS.( Ibnu Kathir, Al-Bidayah, t.t, 1 : 213).

Selain daripada namanya, tidak disebutkan secara jelas tentang nama keturunannya di dalam mana-mana nas samada Al-Quran atau As-Sunnah kecuali nama ayah baginda yang disebut di dalam firman Allah SWT (Surah Al-An’am, ayat 74) :

Maksudnya :
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya Aazar: "Patutkah ayah menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan? ".

Selain daripada ayat tersebut, Imam Bukhari Rahimahulllah meriwayatkan satu hadis yang menceritakan dialog Nabi Ibrahim AS dengan ayahnya di hari kiamat:

Maksudnya :
Daripada Ismail bin Abdullah berkata, telah mengkhabarkan kepadaku saudaraku Abdul Hamid daripada Ibnu Abi Zi’b daripada Sa’id Al-Maqburiyy daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu daripada Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wassalam bersabda : Ibrahim akan berjumpa dengan ayahnya Aazar pada hari kiamat dan pada wajah Aazar (tanda-tanda) penyesalan dan kekesalan… (Bukhari, Shahih, hadi no. 3350)

Sekalipun nama ayah baginda disebut secara jelas di dalam ayat ini, namun terdapat ahli-ahli sejarah yang mengatakan bahawa lafaz Aaazar adalah satu lafaz yang digunakan kepada penyembah-penyembah berhala yang salah satu dari berhala-berhala tersebut namanya ialah Aazar. Pendapat ini dipegang oleh Ibnu Abbas, Ibnu Kathir dan beberapa ahli sejarah yang lain (Solah Al-Khalidi, 1997, 1 : 215). Di dalam mebicarakan keturunan Nabi Ibrahim AS, Ibnu Kathir mendatangkan nasabnya seperti berikut : Ibrahim bin Tarkh bin Mahur bin Sarugh bin Ra’u bn Faligh bin ‘Abir bin Shalikh bin Arfakhshaz bin Sam bin Nuh ‘Alaihissalam (Ibnu Kathir, Al-Bidayah, t.t, 1 : 212).

Bagaimanapun, Ibnu Jarir At-Thabari berpegang teguh dengan namanya sebagaimana yang disebut di dalam Al-Quran iaitu Aazar.( At-Tobari, Tafsir, 1 : 222)Pemerintah di zamannya Tidak disebut secara jelas di dalam Al-Quran tentang nama raja yang memerintah ketika Nabi Ibrahim diutuskan. Bagaimanapun ada diceritakan bahawa pemerintah ini kufur kepada ketuhanan Allah SWT, malah lebih jauh lagi mendakwa dirinya mempunyai kuasa ketuhanan. Ini secara jelas disebut oleh Allah SWT (Surah Al-Baqarah, ayat 258) :

Yang bermaksud : Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: "Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan". Ia menjawab: "Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan". Nabi Ibrahim berkata lagi: "Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah dia dari barat?" Maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu). Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim.

Ayat ini dengan terus-terang menceritakan kedegilan pemerintah di zaman Nabi Ibrahim AS yang mendakwa dirinya mempunyai sifat-sifat dan kuasa ketuhanan. Namun tidak disebut apakah nama pemerintah tersebut. Manakala di dalam beberapa riwayat Israiliyyat diceritakan bahawa nama pemerintah tersebut ialah Namrud yang memerintah negeri Babil, kemudian Allah SWT akhirnya menghancurkannya dengan diutuskan seekor nyamuk untuk memasuki kepalanya melalui telinganya. (Dr. Solah Al-Khalidi, 1997, 1 : 337)

Bagaimanapun, memandangkan bahawa nama Namrud hanya disebut di dalam riwayat Israiliyat sahaja dan tidak disahkan oleh mana-mana nas, maka adalah lebih baik untuk kita menghentikan perbincangan tentangnya dan menerima fakta ini sebagaimana yang diimani oleh para sahabat Radhiallahu ‘anhum.

Nabi Ibrahim AS Di Dalam Al-Quran

Al-Quran menyebut nama Ibrahim berpuluh-puluh kali, samada ketika mengisahkan dakwahnya kepada kaumnya ataupun ketika menyebutnya secara umum bersama dengan nama-nama nabi yang lain.

Berikut ialah nama-nama surah yang menyebut nama Ibrahim dan bilangan sebutan namanya :

1. Surah Al-Baqarah disebut namanya sebanyak 15 kali.

2. Surah Ali Imran disebut namanya sebanyak 7 kali.

3. Surah An-Nisa’ disebut namanya sebanyak 4 kali.

4. Surah Al-An’am disebut namanya sebanyak 4 kali.

5. Surah At-Taubah disebut namanya sebanyak 3 kali.

6. Surah Hud disebut namanya sebanyak 4 kali.

7. Surah Yusuf disebut namanya sebanyak 2 kali.

8. Surah Ibrahim disebut namanya sebanyak 1 kali.

9. Surah Al-Hijr disebut namanya sebanyak 1 kali.

10. Surah An-Nahl disebut namanya sebanyak 2 kali.

11. Surah Al-Anbiya’ disebut namanya sebanyak 4 kali.

12. Surah Al-Anbiya’ disebut namanya sebanyak 4 kali.

13. Surah Al-Hajj disebut namanya sebanyak 3 kali. Surah As-Syua’raa’ disebut namanya sebanyak 1 kali.

15. Surah Al-Ankabut disebut namanya sebanyak 2 kali.

16. Surah Al-Ahzab disebut namanya sebanyak 1 kali.

17. Surah As-Shaffat disebut namanya sebanyak 3 kali.

18. Surah Shad disebut namanya sebanyak 1 kali.

19. Surah As-Syura disebut namanya sebanyak 1 kali.

20. Surah Az-Zukhruf disebut namanya sebanyak 1 kali.

21. Surah Adz-Dzariyat disebut namanya sebanyak 1 kali.

22. Surah An-Najm disebut namanya sebanyak 1 kali.

23. Surah Al-Hadid disebut namanya sebanyak 1 kali.

24. Surah Al-Mumtahanah disebut namanya sebanyak 2 kali.

25. Surah Al-A’la disebut namanya sebanyak 1 kali.

Jika ditelitit dari fakta di atas, didapati bilangan surah yang disebut nama Ibrahim di dalamnya ialah 25 surah dan jumlah ayat yang menyebut nama Ibrahim ialah sebanyak 69 ayat. Sekalipun terdapat banyak surah-surah yang menceritakan tentang Nabi Ibrahim AS, setiap pengkisahan tersebut dibawa dalam bentuk-bentuk yang berlainan. Ia boleh dirumuskan sebagaimana berikut :



1. Surah Al-Baqarah : Disebut kisah Nabi Ibrahim di dalam Al-Quran sebanyak tiga kali iaitu kali pertama di dalam ayat 124-141. Ayat-ayat ini menceritakan perkara-perkara berikut :

· perlantikan Nabi Ibrahim AS dan keturunannya sebagai pemimpin kepada manusia.

· Perintah supaya dijadikan sebahagian daripada maqam Ibrahim sebagai tempat bersolat.

· Disebut juga di sini doa Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail selepas membina Kaabah.

· Penegasan daripada Allah SWT bahawa agama Nabi Ibrahim ialah agama Islam.

· Wasiat Nabi Ibrahim kepada anak-anaknya supaya menjadi orang-orang Islam dan melarang mereka mati di dalam agama selain daripada agama Islam.

· Membincangkan tentang golongan Yahudi dan Nasrani yang mendakwa bahawa mereka mengikuti agama Nabi Ibrahim.Menegaskan keimanan orang-orang muslimin kepada Nabi Ibrahim dan juga kepada nabi-nabi lain selepas Nabi Ibrahim.

· Menolak dakwaan orang-orang Yahudi dan Nasrani bahawa Nabi Ibrahim dan rasul-rasul selepasnya adalah beragama Yahudi ataupun Nasrani dan diikuti dengan penegasan bahawa Nabi Ibrahim dan rasul-rasul selepasnya merupakan orang-orang muslimin.

Manakala di tempat kedua di dalam surah Al-Baqarah yang menceritakan tentang Nabi Ibrahim AS ialah di dalam ayat 258. Ayat ini membicarakan tentang perdebatan Nabi Ibrahim dengan seorang pemerintah di zamannya yang mendakwa mempunyai kuasa ketuhanan.

Manakala di tempat yang ketiga ialah di dalam ayat 260. Ayat ini mengisahkan permohonan Nabi Ibrahim AS kepada Allah SWT supaya menunjukkan bagaimanakah Dia menghidupkan orang-orang yang sudah mati. Memandangkan perbincangan tentang kisah ini tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan dakwah Nabi Ibrahim AS, maka saya tidak berhajat untuk mengulas lanjut tentangnya.

2. Surah Ali-Imran : Surah ini tidak menceritakan episod-episod yang terdapat di dalam kisah Nabi Ibrahim tetapi lebih menekankan tentang kelebihan dan kemuliaan Nabi Ibrahim di sisi Allah SWT dan hakikat agama yang dianutinya. Di dalam ayat 33 , ditegaskan bahawa Allah SWT memilih keluarga Nabi Ibrahim dan keluarga Imran dengan diberikan kelebihan dan kemuliaan mengatasi umat-umat yang lain di dunia. Manakala seterusnya di dalam ayat 65-68, Allah SWT menolak dakwaan orang-orang Yahudi dan Nasrani bahawa Nabi Ibrahim menganuti agama mereka bahkan Nabi Ibrahim ialah seorang yang bergama hanif. Hanif bererti lurus. Ibnu Kathir Rahimahullah di dalam Tafsirnya menyebut bahawa istilah ini sebagai satu penyataan bahawa Nabi Ibrahim suci bersih dari sebarang amalan syirik dan beriman dengan keimanan yang sebenarnya. (Tafsir Al-Quranul ‘Azim oleh Ibnu Kathir, Jilid I, Darul Fikr, ms 457). Juga ditegaskan bahawa bahawa golongan yang paling hampir dengan Nabi Ibrahim ialah orang-orang yang beriman dengannya daripada kaumnya dan diikuti dengan Nabi Muhammad SAW dan umatnya. Manakala di dalam aat 95-97 pula, disebut tentang perintah Allah SWT kepada golongan ahli kitab supaya mengikuti agama Nabi Ibrahim AS dan memeluk agama Islam. Kemudian diceritakan secara umum pembinaan Kaabah oleh Nabi Ibrahim yang disifatkan sebagai binaan yang pertama dibina untuk beribadat kepada Allah. Sebagai mengikuti sunnah Nabi Ibrahim ini, diperintahkan kepada umat Islam agar melaksanakan ibadah haji ke Baitil Haram.

3. An-Nisa’ : Di dalam ayat 125 mengandungi pujian kepada mereka yang mengikuti Nabi Ibrahim yang lurus serta pengambilan Nabi Ibrahim sebagai kekasih Allah.

4. Surah Al-An’am : Di dalam ayat 74-86, dibentangkan episod awal dari dakwah Nabi Ibrahim AS iaitu dakwahnya kepada ayahnya dan juga kepada kaumnya. Secara ringkasnya, ayat-ayat ini menceritakan dialog Nabi Ibrahim dengan ayahnya Aazar yang merupakan penyembah berhala. Seterusnya diikuti dengan dakwah Nabi Ibrahim terhadap kaumnya yang menjadikan bintang sebagai tuhan. Disebut di dalam ayat-ayat ini kebijaksanaan Nabi Ibrahim AS yang menggunakan hujah-hujah yang teguh dengan mendatangkan bukti-bukti berbentuk aqliah tentang kebatilan ibadat kaumnya. Dengan hujah-hujah ini, maka jelaslah bahawa sembahan kaumnya selama ini adalah salah sama sekali. Seterusnya disebut secara umum nama-nama nabi yang lahir dari keturunan Nabi Ibrahim AS.

Kemudian di penghujung surah ini iaitu di dalam ayat 161, ditegaskan bahawa agama Nabi Ibrahim ialah agama hanif.

5. Surah At-Taubah : Di dalam ayat 114 didedahkan kedudukan sebenar doa Nabi Ibrahim yang memohon supaya ayahnya diampunkan oleh Allah, juga kedudukan Nabi Ibrahim yang berlepas diri dari kekufuran ayahnya sesudah nyata bahawa ayahnya ialah musuh Allah.

6. Surah Hud : Ayat 69 – 76 yang terdapat di dalam surah ini mengisahkan tentang kedatangan para malaikat kepada Nabi Ibrahim AS dengan menyamar sebagai manusia. Nabi Ibrahim yang tidak mengenali mereka telah menghidangkan makanan namun tidak dijamah oleh mereka kerana sifat mereka sebagai malaikat tidak memungkinkan mereka untuk makan. Seterusnya diceritakan pemberitahuan berita gembira kepada Nabi Ibrahim dan isterinya Sarah akan kehadiran cahaya mata yang bernama Ishak. Kemudian diceritakan pula bahawa kedatangan para malaikat ini sebenarnya ialah untuk menemui Nabi Lut AS yang merupakan anak saudara Nabi Ibrahim.

7. Surah Ibrahim : Surah yang dinamakan dengan namanya sendiri ini mengandungi secara terperinci doa Nabi Ibrahim kepada Allah SWT di dalam ayat 35-41. Doa yang dilafazkan oleh Nabi Ibrahim ini antara lainnya mengandungi perkara-perkara berikut :

· memohon supaya Allah SWT menjadikan tanah Mekah sebagai tempat yang aman.

· Supaya dijauhkan dirinya dan keturunannya dari menjadi penyembah berhala.

· Memohon supaya Allah SWT menjadikan hati manusia tertarik untuk datang ke Tanah Haram selepas dinyatakan bahawa isteri dan anaknya telah ditinggalkan di situ semata-mata supaya mereka mendirikan solat dan melaksanakan perintah Allah SWT. Memohon supaya dikurniakan penghuni-penghuni Tanah Haram ini rezeki yang melimpah ruah. Menyatakan syukurnya kepada Allah SWT di atas nikmat yang telah diterima olehnya dan juga keturunannya.



8. Surah Al-Hijr : Diceritakan di dalam ayat 51-60 tentang kedatangan malaikat kepada Nabi Ibrahim AS. Kedatangan mereka dalam rupa bentuk manusia ialah bertujuan untuk menyampaikan berita gembira kepada Nabi Ibrahim akan kelahiran seorang anak lelaki dan juga berita tentang kaum Nabi Lut yang telah melampaui batas di dalam kekufuran mereka kepada Allah SWT.



9. Surah An-Nahl : Di dalam ayat 120 dikhabarkan secara ringkas bahawa Nabi Ibrahim ialah seorang yang taat kepada Allah (hanif) dan tidak sekali-kali termasuk di kalangan orang-orang musyrikin. Manakala di dalam ayat 123 mengandungi perintah supaya diikuti agama Nabi Ibrahim.



10. Surah Maryam : Surah Maryam menceritakan tentang Nabi Ibrahim di dalam ayat 41-50. Ayat-ayat ini mengisahkan dakwah Nabi Ibrahim kepada ayahnya supaya tidak kufur kepada Allah SWT dan memasuki agama Islam. Namun ayahnya menolak dakwah Nabi Ibrahim lalu Nabi Ibrahim mengasingkan diri dari bapanya dan dikurniakan oleh Allah SWT dua orang anak iaitu Nabi Ismail dan Nabi Ishak.

11. Surah Al-Anbiya’ : Surah ini menceritakan tentang kisah Nabi Ibrahim AS di dalam ayat 51-73. Ia bermula dengan penolakan Nabi Ibrahim terhadap ketuhanan berhala-berhala yang menjadi sembahan bapa dan kaumnya. Ia diikuti dengan dakwah terhadap agama Islam.

Seterusnya ayat-ayat ini menceritakan satu episod penting dalam kisah Nabi Ibrahim iaitu peristiwa baginda menghancurkan berhala-berhala kecuali berhala yang terbesar. Ia seterusnya diikuti dengan perbicaraan terhadap Nabi Ibrahim yang menyaksikan kemenangan berpihak kepada baginda yang menggunakan hujjah-hujjah yang kukuh bagi menolak ketuhanan berhala-berhala yang menjadi sembahan kaumnya. Walaupun demikian, Nabi Ibrahim tetap dihukum dengan dicampakkan ke dalam api tetapi diselamatkan oleh Allah SWT.

Akhir sekali, Nabi Ibrahim keluar dari negeri tersebut bersama anak saudaranya iaitu Nabi Lut ke ‘bumi yang diberkati’ iaitu Palestin dan seterusnya dikurniakan dua orang anak iaitu Nabi Ishak dan Nabi Ismail.

12. Surah Al-Hajj : Di dalam ayat 62-69, diceritakan tentang satu episod dari kisah Nabi Ibrahim yang bersesuaian dengan nama surah ini sendiri. Episod tersebut ialah permulaan kepada ibadat haji yand diasaskan oleh Nabi Ibrahim AS. Di dalam ayat-ayat ini, diceritakan tentang pembinaan Masjidil Haram dan perintah Allah kepada Nabi Ibrahim supaya menyeru manusia datang ke Masjidil Haram menunaikan haji dan mengagungkan syiar-syiar Allah. Di dalam ayat 78 yang merupakan ayat yang terakhir daripada surah ini menyebut pula kaitan yang kuat antara umat Islam dengan Nabi Ibrahim di mana nama ‘Islam’ itu sendiri adalah diberikan oleh Nabi Ibrahim AS.

13. Surah As-Syu’ara’ : Surah ini menceritakan tentang kisah Nabi Ibrahim pada ayat 69-89. Ia mengandungi kisah dakwah Nabi Ibrahim kepada ayah dan kaumnya. Seterusnya diikuti dengan ikrar daripada baginda yang berlepas diri dari apa jua amalan syirik kaumnya.

14. Surah Al-Ankabut : Ayat 16-27 di dalam surah ini menceritakan dakwah Nabi Ibrahim kepada kaumnya supaya menyembah Allah dan menolak amalan kaumnya yang mensyirikkan Allah. Berbeza dengan surah-surah yang lain, di sini diceritakan bagaimana Nabi Ibrahim turut memperkenalkan sifat-sifat Allah kepada kaumnya. Namun segala penjelasan ini ditolak oleh kaumnya malah diancam untuk dibunuh atau dibakar. Namun Nabi Ibrahim diselamatkan oleh Allah dari segala perancangan orang-orang kafir. Seterusnya Nabi Ibrahim bersama-sama dengan Nabi Lut berhijrah ke Palestin dan dikurniakan oleh Allah seorang anak iaitu Nabi Ishak yang dari keturunannya lahir Nabi Yaakub.

15. Surah As-Shaffat : Ayat 83-113 daripada surah ini menceritakan bagaimana Nabi Ibrahim dikurniakan hati yang sejahtera. Seterusnya dikisahkan bagaimana dakwah Nabi Ibrahim yang menolak amalan kaumnya yang mensyirikkan Allah. Ia diikuti dengan peristiwa penghancuran berhala dan ekoran daripada itu, Nabi Ibrahim dihukum dengan dibakar hidup-hidup. Bagaimanapun, baginda diselamatkan oleh Allah seterusnya dikurniakan anak yang bernama Ismail.

Seterusnya ayat-ayat ini menceritakan saat-saat getir yang dilalui oleh Nabi Ibrahim apabila diperintahkan untuk menyembelih anaknya sendiri. Di sini, Nabi Ibrahim berjaya membuktikan ketaatannya kepada Allah. Diceritakan juga tentang anaknya yang lain iaitu Nabi Ishak yang juga diangkat menjadi nabi dan dimuliakan Allah keturunannya.

16. Surah Az-Zukhruf : Di dalam ayat 26 disebut perkhabaran tentang Nabi Ibrahim yang tidak akan dipersoalkan tentang kekufuran kaumnya.

17. Surah Adz-Dzariyaat : Surah ini menceritakan tentang Nabi Ibrahim di dalam ayat 24-34. Ia dimulakan dengan kisah para malaikat yang datang kepada Nabi Ibrahim untuk menyampaikan berita gembira kepadanya akan kelahiran cahaya matanya, Nabi Ishak. Dinukilkan di dalam ayat ini kehairanan isteri Nabi Ibrahim apabila mendengar berita tersebut. Seterusnya, para malaikat tersebut memberitahu Nabi Ibrahim tentang bala yang akan ditimpakan kepada umat Nabi Lut.

18. Surah Al-Hadid : Ayat 26 mengandungi isyarat kepada kenabian Nabi Nuh dan Ibrahim serta keturunan mereka yang mewarisi nubuwwah.

19. Surah Al-Mumtahanah : Surah ini membicarakan tentang Nabi Ibrahim di dalam ayat 4-6. Ayat ini memperkatakan tentang kedudukan iman Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya yang beriman serta pelepasan mereka daripada kaum mereka yang kufur. Juga disebut kemurkaan Allah kepada orang-orang kafir sehinggalah mereka beriman kepadaNya. Dinukilkan juga perintah kepada orang-orang mukmin supaya mencontohi Nabi Ibrahim dan menerangkan kedudukan sebenar doa Nabi Ibrahim kepada ayahnya.

Selain daripada surah-surah yang telah disenaraikan, turut disebut nama Nabi Ibrahim secara umum samada bersama dengan nama-nama nabi yang lain atau pujian terhadapnya dan nabi-nabi yang lain secara sepintas lalu atau sebagainya. Antaranya ialah surah Yusuf (ayat 6 dan 38), Al-Ahzab (ayat 7), Shad (ayat 45), As-Syura (ayat 13), An-Najm (ayat 37)dan Al-A’la (ayat 19).

Peringkat-peringkat Dakwah Nabi Ibrahim ‘Alahissalam

Melalui penceritaan tentang Nabi Ibrahim yang disebut oleh Allah SWT di dalam Al-Quran, kita dapat membuat satu kesimpulan bahawa kehidupan Nabi Ibrahim terbahagi kepada beberapa peringkat. Begitu juga dengan dakwah dan seruan Nabi Ibrahim kepada manusia di zamannya, turut terbahagi kepada beberapa peringkat.

Secara umumnya, kehidupan Nabi Ibrahim terbahagi kepada dua peringkat yang utama sebagaimana berikut :

Peringkat pertama : Dakwahnya di negerinya yang asal iaitu negeri Iraq. Di sinilah dilakukan seruan dakwah seperti yang diceritakan oleh Al-Quran iaitu dakwah kepada ayah dan kaumnya. Ia diikuti dengan dakwah kepaad pemerintah yang zalim. Namun, apabila seruan dakwahnya ditolak, Nabi Ibrahim mengambil tindakan menghancurkan berhala-berhala sembahan kaumnya. Ia mengakibatkan dirinya dihukum bakar namun diselamatkan oleh Allah SWT.

Apabila telah jelas kaumnya tidak akan menerima dakwahnya, Allah SWT memerintahkan Nabi Ibrahim berhijrah ke negeri yang lain iaitu Palestin.

Peringkat kedua : Dakwahnya di bumi yang diberkati iaitu Palestin. Di dalam perjalanan hijrahnya ke Palestin, baginda ditemani oleh anak saudaranya iaitu Nabi Lut. Selepas itu, mereka hidup berdekatan antara satu sama lain di mana Nabi Ibrahim berada di Quds manakala Nabi Lut berada di sebelah timur.

Di dalam peringkat ini jugalah kita mendapati Nabi Ibrahim bermusafir bersama dengan isterinya Sarah ke Mesir dan dihadiahkan seorang jariah yang bernama Hajar sebagaimana disebut oleh Rasulullah SAW. Di peringkat ini jugalah berlakunya peristiwa baginda didatangi oleh malaikat bagi membawa berita gembira tentang kelahiran Nabi Ishak dan Nabi Yaakub serta bencana yang akan menimpa kaum Nabi Lut.

Di peringkat ini jugalah Nabi Ibrahim dikurniakan anak yang pertama iaitu Nabi Ismail yang lahir dari Hajar. Selepas itu, Allah memerintahkan supaya Nabi Ibrahim membawa kedua-duanya ke tanah Hijjaz lalu ditinggalkan di tanah yang kering kontang tanpa air dan tumbuhan.

Selepas beberapa tahun, Nabi Ibrahim dibenarkan untuk menziarahi kedua-duanya di Tanah Haram di mana ketika itu Nabi Ismail sudahpun meningkat remaja. Di ketika inilah Nabi Ibrahim diperintahkan untuk menyembelih anaknya yang kemudiannya digantikan oleh Allah dengan sembelihan yang besar.

Selepas beberapa tahun pula, sekali lagi lagi Nabi Ibrahim ke Tanah Haram untuk mendirikan Kaabah sebagai tempat untuk menyembah Allah yang pertama di muka bumi. Selepas Kaabah selesai didirikan, Nabi Ibrahim menyeru manusia untuk datang menunaikan haji.

Apabila Nabi Ibrahim kembali semula ke Palestin, baginda tinggal di situ sehinggalah diwafatkan oleh Allah SWT.

Di sini kita boleh mengambil kesimpulan bahawa kebanyakan cabaran yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim di dalam dakwahnya ialah semasa di peringkat yang pertama. Ini kelihatan dengan jelas di mana di peringkat inilah Nabi Ibrahim berdepan dengan ayah, kaum dan pemerintah di zamannya. Pihak-pihak ini kesemuanya menolak dakwah Nabi Ibrahim sehingga mengakibatkan Nabi Ibrahim terpaksa menggunakan pelbagai cara dan manhaj supaya dakwahnya diterima.

Manakala di peringkat yang kedua, tidak kelihatan dengan jelas fakta-fakta dakwah Nabi Ibrahim kecuali beberapa siri ujian yang lebih menfokus terhadap dirinya sendiri. Ujian-ujian tersebut termasuklah perintah meninggalkan anak dan isterinya di tanah yang kering kontang tanpa sebarang makanan dan perintah supaya menyembelih anaknya sendiri serta ujian-ujian yang lain.

Oleh yang demikian, saya akan lebih menekankan kepada manhaj dakwah Nabi Ibrahim semasa berada di peringkat pertama memandangkan kebanyakan dakwah Nabi Ibrahim yang disebut di dalam Al-Quran adalah berkisar di peringkat tersebut.

BAB KEDUA : DAKWAH NABI IBRAHIM KEPADA AYAH DAN KAUMNYA



Allah SWT mengutuskan Ibrahim sebagai nabi dan rasul kepada umatnya. Dan gerak kerja dakwah pertama yang dilaksanakan oleh Nabi Ibrahim ialah dakwah kepada ayahnya sendiri
Nabi Ibrahim memilih ayahnya sebagai sasaran dakwah yang pertama berdasarkan kedudukan ayahnya sendiri sebagai orang yang paling rapat dengannya. Oleh yang demikian, Nabi Ibrahim berusaha sedaya mungkin agar orang yang rapat dengannya ini terselamat dari kesesatan yang nyata. Al-Quran menceritakan dialog Nabi Ibrahim dengan ayahnya di dalam beberapa tempat di dalam Al-Quran. Antaranya ialah firman Allah SWT (Maryam : 41 – 47) :

Maksudnya :

Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Ibrahim; sesungguhnya adalah ia seorang yang amat benar, lagi menjadi Nabi. Ketika ia berkata kepada bapanya:" Wahai ayahku, mengapa ayah menyembah benda yang tidak mendengar dan tidak melihat serta tidak dapat menolongmu sedikitpun? " Wahai ayahku, sesungguhnya telah datang kepadaku dari ilmu pengetahuan yang tidak pernah datang kepadamu oleh itu ikutlah daku; aku akan memimpinmu ke jalan yang betul. " Wahai ayahku, janganlah ayah menyembah Syaitan, sesungguhnya Syaitan itu adalah menderhaka kepada Allah yang melimpah-limpah rahmatNya. " Wahai ayahku, sesungguhnya aku bimbang bahawa ayah akan kena azab dari (Allah) Ar-Rahman disebabkan ayah menyembah yang lainnya; maka dengan sebab itu akan menjadilah ayah rakan bagi Syaitan di dalam neraka". (Bapanya) menjawab: "Patutkah engkau bencikan tuhan-tuhanku, wahai Ibrahim? Demi sesungguhnya jika engkau tidak berhenti daripada menyeru dan menasihati daku sudah tentu aku akan meluntarmu dengan batu; dan (ingatlah lebih baik) engkau tinggalkan daku sepanjang masa". Nabi Ibrahim berkata: " Selamat tinggal ayah; aku akan memohon kepada Tuhanku mengampuni dosamu; sesungguhnya Ia sentiasa melimpahkan kemurahan ihsanNya kepadaku.



Selain daripada ayat di ayat, disebut tentang dakwah Nabi Ibrahim kepada ayahnya juga di dalam Surah Al-An’am ayat 74. Nabi Ibrahim memulakan dakwah kepada ayahnya selaku orang yang paling rapat dengannya. Ayah Nabi Ibrahim ialah seorang yang musyrik dan menyembah berhala sebagaimana yang disebut secara jelas di dalam Al-Quran. Terdapat beberapa pendapat di kalangan ulama yang menyatakan bahawa orang diseru oleh Nabi Ibrahim itu bukanlah ayahnya, bahkan bapa saudaranya. Ini kerana adalah tidak mungkin Nabi Ibrahim yang merupakan abul-anbiya’ (bapa para nabi) berbapakan seorang musyrik dan menyembah berhala.

Namun pendapat ini bukan merupakan pendapat yang rajih di kalangan ulama mufassirin. Ini kerana Allah SWT dengan jelas sekali menggunakan lafaz ÃÈíå yang membawa makna ayah dan bukan sesekali makna selain dari itu. Manakala persoalan hidayah ialah urusan Allah SWT. Jika tidak demikian, maka mustahil jugalah Nabi Nuh dan Nabi Lut beristerikan seorang yang kufur kepada Allah. Malah anak Nabi Nuh sendiri menolak dakwah bapanya. Manakala Nabi Muhammad SAW berbapa saudarakan seorang yang musyrik dan memusuhi Islam. Ini semua menunjukkan bahawa persoalan hidayah dan petunjuk ialah urusan Allah SWT dan seorang manusia terlepas daripada dosa kekufuran manusia yang lain.

Namun, dakwah Nabi Ibrahim ini ditolak mentah-mentah oleh ayahnya malah diancam untuk dilontar dengan batu dan diusir daripada rumahnya. Nabi Ibrahim akhirnya mengambil pendirian untuk berpisah daripada ayahnya dan berjanji untuk mendoakan keampunan kepada ayahnya.

Selepas itu, Nabi Ibrahim menujukan dakwah kepada kaumnya yang merupakan penyembah cakerawala (Solah Al-Khalidi 1997 : 330 & 331). Allah SWT menceritakan peristiwa dialog ini di dalam Surah Al-An’am, ayat 76 (79)(81)Maksudnya :

Maka ketika ia berada pada waktu malam yang gelap, ia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu ia berkata: "Inikah Tuhanku?" Kemudian apabila bintang itu terbenam, ia berkata pula: "Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang". Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), dia berkata: "Inikah Tuhanku?" Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah dia: "Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya menjadilah aku dari kaum yang sesat". Kemudian apabila dia melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah dia: "Inikah Tuhanku? Ini lebih besar". Setelah matahari terbenam, dia berkata pula: ` Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) dari apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya). "Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)". Dan ia dibantah oleh kaumnya, ia pun berkata: "Patutkah kamu membantahku mengenai Allah, padahal sesungguhnya Ia telah memberi hidayah petunjuk kepadaku? Dan aku pula tidak takut (akan sebarang bahaya dari) apa yang kamu sekutukan dengan Allah, kecuali Tuhanku menghendaki sesuatu dari bahaya itu. (Sesungguhnya) pengetahuan Tuhanku meliputi tiap-tiap sesuatu, tidakkah kamu mahu (insaf) mengambil pelajaran? "Dan bagaimanakah aku hendak takutkan apa yang kamu sekutukan dengan Allah itu (yang tidak dapat mendatangkan sesuatu bahaya), padahal kamu tidak takut bahawa kamu telah sekutukan Allah dengan sesuatu yang Allah tidak menurunkan sebarang keterangan kepada kamu mengenainya? Maka yang manakah di antara dua puak itu yang lebih berhak mendapat keamanan (dari bahaya), jika betul kamu mengetahui?"

Sesetengah ahli mufassirin menyebut bahawa peristiwa yang diceritakan oleh Allah SWT di dalam ayat-ayat di atas ialah persitiwa di mana Nabi Ibrahim sedang mencari-cari tuhannya. Di antara yang mengemukakan pendapat sebegini ialah At-Thabari (At-Thabari, Tafsir, 5 : 324) dan Syed Qutb. Namun, kebanyakan ahli mufassirin menyatakan bahawa ayat-ayat ini sebenarnya menceritakan tentang dakwah Nabi Ibrahim kepada kaumnya yang merupakan penyembah cakerawala dan berhala. Dalam erti kata lain, Nabi Ibrahim cuba menggunakan hujjah-hujjah yang nyata dan menggerakkan pemikiran kaumnya agar menggunakan akal yang sihat untuk menentukan kebenaran di dalam soal keyakinan dan aqidah (Ar-Razi, Tafsir, 7 : 51). Manakala baginda sendiri pada masa itu sudahpun dilantik menjadi nabi dan rasul oleh Allah SWT. Selain daripada Surah Al-An’am, dakwah Nabi Ibrahim kepada kaumnya juga disebut oleh Allah SWT di dalam Surah As-Syu’araa’, ayat 69 – 82 dan Surah Al-Anbiyaa’, ayat 51 – 56.

Manhaj-manhaj Dakwah

Di dalam bahagian dakwah Nabi Ibrahim yang pertama seperti yang diceritakan di dalam Al-Quran ini, baginda menggunakan pelbagai manhaj yang sesuai dengan sasaran dakwah iaitu bapanya sendiri.

Sebagai langkah pertama, Nabi Ibrahim memilih untuk menggunakan hujah dan ajakan supaya ayahnya berfikir dan membuat penilaian tentang amalan penyembahan berhala yang diamalkan selama ini. Dimulakan ajakan tersebut dengan perkataan ÃÈÊ yang bermaksud ayah kesayanganku. Perkataan sebegini dianggap begitu penting dalam urusan penyampaian dakwah supaya sasaran dakwah merasakan bahawa dakwah yang disampaikan adalah untuk kebaikan dirinya sendiri. Ia adalah bertujuan menyelamatkan dirinya dari menjadi bahan kemurkaan Allah SWT di akhirat kelak.

Nabi Ibrahim seterusnya menegaskan bahawa berhala yang disembah oleh ayahnya selama ini sama sekali tidak dapat mendatangkan sedikitpun apa-apa kebaikan dan mudharat kepada penyembahnya. Ia juga tidak dapat menepis apa-apa jua kemudharatan yang akan menimpa dirinya sendiri. Gesaan sebegini adalah bertujuan supaya ayahnya berfikir faedah apakah yang diperolehi dengan menyembah berhala yang tidak lebih daripada batu-batu atau kayu-kayu yang tidak dapat mendatangkan mudharat walaupun sedikit. Bukan mudah untuk seorang penyembah berhala yang sudah menjadikan amalan penyembahan berhala sebagai satu amalan zaman berzaman untuk menganggap bahawa dirinya sedang melakukan amalan yang sia-sia. Perubahan paradigma yang dituntut oleh Nabi Ibrahim ini ialah satu perubahan pemikiran yang sukar sekali untuk dilakukan oleh ayahnya sendiri. Ekoran daripada itulah, Nabi Ibrahim memilih untuk menggunakan bahasa yang paling baik dan lembut apabila menyampaikan mesej dakwah ini.

Di dalam proses untuk mengajak ayahnya meninggalkan amalan penyembahan berhala ini juga, Nabi Ibrahim menegaskan bahawa ajakan ini berpunca dari kebimbangannya bahawa ayahnya akan diseksa oleh Allah SWT akibat kekufurannya. Inilah sifat seorang pendakwah yang melakukan gerak kerja dakwah semata-mata kerana Allah SWT. Seorang pendakwah semestinya mempunyai rasa belas ihsan di dalam hatinya terhadap sasaran dakwah. Seruan dakwah dilakukan ialah kerana ingin menyelamatkan manusia dari azab seksa di akhirat akibat dari kekufuran di muka bumi ini. Perasaan kasih dan sayang inilah yang menjadikan sasaran dakwah sepatutnya terkesan dengan dakwah yang disampaikan kepada mereka. Adalah mustahil mereka boleh menolak seruan dakwah sedangkan begitu jelas disedari bahawa seruan dakwah tersebut ialah untuk kebaikan mereka sendiri semata-mata.

Namun, seruan Nabi Ibrahim kepada ayahnya itu tetap ditolak mentah-mentah malah ayahnya mengancam untuk melontarnya dengan batu sekiranya dakwah tersebut tidak dihentikan. Inilah ujian pertama di dalam kehidupan dakwah Nabi Ibrahim dan ternyata ia berjaya ditempuhi dengan tabah sebagaimana seharusnya seorang pendakwah yang sebenar.

Seterusnya apabila Nabi Ibrahim dihalau keluar oleh ayahnya, baginda berjanji untuk memohon keampunan kepada Allah SWT di atas keingkaran bapanya yang enggan menerima kebenaran. Di sini, Nabi Ibrahim menunjukkan dengan jelas bagaimana perasaan sayangnya yang begitu mendalam terhadap ayahnya sekalipun seruannya telah ditolak mentah-mentah. Perasaan inilah yang mendorong Nabi Ibrahim memohon supaya Allah mengampunkan dosa-dosa ayahnya. Bagaimanpun, apabila sudah nyata dan jelas bahawa ayahnya ialah musuh Allah SWT, maka baginda berhenti memohon keampunan. Allah SWT menjelaskan perkara ini di dalam firmanNya (At-Taubah : 114) :

Maksudnya :

Dan bukanlah istighfar Nabi Ibrahim bagi bapanya (dibuat) melainkan kerana adanya janji yang dijanjikan kepadanya; dan apabila ternyata kepada Nabi Ibrahim bahawa bapanya musuh bagi Allah, ia pun berlepas diri daripadanya. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu lembut hati lagi penyabar. Sifat Nabi Ibrahim yang ingin memohon ampun daripada Allah SWT menjelaskan satu lagi manhaj pendakwah iaitu tidak memutuskan sebarang talian silaturrahim dengan sasaran dakwah sekalipun berlainan agama. Walalupun demikian, kasih sayang dan tali persaudaraan haruslah wujud satakat mana yang dibenarkan oleh Islam sendiri. Ini sesuai dengan firman Allah SWT (Al-Mujadalah, 22) :

Maksudnya :

Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadaNya… Nabi Ibrahim kemudiannya menujukan dakwah kepada kaumnya yang merupakan penyembah cakerawala. Sebagaimana yang disebutkan sebelum ini, dialog Nabi Ibrahim yang disebutkan di dalam Surah Al-An’am, ayat 76 – 81 tersebut bukanlah peristiwa pencarian tuhan seperti yang disebutkan oleh beberapa mufassirin namun merupakan dialog di antara Nabi Ibrahim dengan kaumnya. Dalam erti kata lain, kata-kata tersebut ialah sebahagian daripada perdebatan antara Nabi Ibrahim dengan kaumnya tentang ketuhanan.

Ketika Nabi Ibrahim berkata "Inikah Tuhanku?", ia bukanlah merujuk kepada Nabi Ibrahim sendiri yang sedang mencari-cari tuhan, namun ia merujuk kepada kenyataan dan persoalan yang diajukan oleh Nabi Ibrahim kepada kaumnya, adakah bintang, bulan dan matahari yang kamu jadikan sebagai tuhan ini merupakan tuhan yang sebenarnya? Sesungguhnya ini semua sama sekali tidak layak disembah sebagai tuhan kerana ia boleh muncul dan tenggelam (Solah Al-Kahlidi, 1997 : 331 – 332). Ini berdasarkan kepada susunan ayat di dalam Surah Al-An’am iaitu sebelum Allah SWT menceritakan tentang dialog Nabi Ibrahim, telah ditegaskan di dalam aat 76 bahawa Nabi Ibrahim sudah termasuk di dalam golongan muqinin yang bermaksud orang-orang yang yakin.

Semasa berdepan dengan kaumnya, Nabi Ibrahim juga menggunakan hujjah-hujjah yang bertujuan untuk menggerakkan akal dan minda kaumnya supaya berfikir secara rasional dalam menentukan pendirian di dalam soal aqidah. Ini adalah kerana pemikiran yang rasional pastinya menolak ketuhanan cakerawala yang disembah sebagai tuhan sedangkan ia mempunyai sifat kekurangan iaitu timbul dan tenggelam.

Nabi Ibrahim juga menggunakan manhaj yang tidak tergesa-gesa di dalam menyampaikan mesej dakwah. Semua mesej dakwah disampaikan secara teratur dan tersusun bagi memudahkannya difahami dengan jelas oleh sasaran dakwah. Setiap hujjah yang disampaikan mempunyai susun atur yang tersendiri. Seandainya Nabi Ibrahim tergesa-gesa di dalam menyampaikan mesej dakwah, pasti ia akan dapat dibantah seterusnya ditolak tanpa sebarang pertimbangan oleh kaumnya.

BAB KETIGA : NABI IBRAHIM BERDAKWAH KEPADA SEORANG RAJA

Allah SWT menceritakan episod dakwah Nabi Ibrahim ini di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 258 :
Maksudnya :

Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: "Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan". Ia menjawab: "Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan". Nabi Ibrahim berkata lagi: "Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah dia dari barat?" Maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu). Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim.



Ini ialah peringkat seterusnya dalam usaha dakwah Nabi Ibrahim. Selepas daripada Nabi Ibrahim berdakwah kepada ayahnya di dalam peringkat permulaan dan kemudiannya kepada kaumnya di dalam peringkat kedua, Nabi Ibrahim meneruskan usaha dakwahnya kepada peringkat yang lebih tinggi iaitu kepada raja kaumnya. Disebut oleh para mufassirin bahawa selepas Nabi Ibrahim menyampaikan dakwah kepada ayah dan kaumnya, dakwah tersebut tersebar sehinggalah sampai ke pengetahuan seorang raja di zamannya yang mengaku mempunyai kuasa ketuhanan. Lalu berlakulah dialog dan perdebatan di antara Nabi Ibrahim dengan raja tersebut tentang ketuhanan.

Tidak disebut di dalam mana-mana nas dengan jelas nama raja tersebut. Juga tidak terdapat sebarang dalil yang menyokong mana-mana keterangan di dalam Al-Quran mahupun hadis. Selain dari itu, tidak juga terdapat keterangan tentang kekuasaannya, nama kerajaannya dan lain-lain.

Di dalam beberapa riwayat Israiliyyat, disebut bahawa nama raja tersebut ialah Namrud (Solah Al-Khalidi, 1997 : 337). Nama Namrud ini juga turut diriwayatkan dari beberapa sahabat termasuk Ali bin Abi Talib (Sayuti, Tafsir, 2 : 24). Namun tentu sekali ia tidak dapat diyakini memandangkan sumbernya yang diragui serta sandarannya yang tidak berdasarkan kepada mana-mana nas Al-Quran mahupun hadis Rasulullah SAW.

Apa yang boleh dipercayai ialah raja tersebut tentunya seorang yang kafir, mendakwa dirinya mempunyai kuasa ketuhanan, dan manusia di zamannya menjadikan dirinya sebagai salah satu tuhan yang disembah. Lalu Nabi Ibrahim berhadapan dengannya di dalam satu majlis perdebatan bagi menentukan kebenaran dan kebatilan di sebalik segala dakwaaan raja tersebut.

Nabi Ibrahim memulakan hujjahnya dengan mengatakan bahawa tuhannya iaitu Allah SWT berupaya untuk menghidupkan dan mematikan. Raja tersebut seterusnya membalas bahawa dia juga boleh menghidupkan dan mematikan. Lalu dia memerintahkan supaya didatangkan dua orang lelaki yang sudah dijatuhi hukuman mati, kemudian diperintahkan supaya dibebaskan salah seorang lelaki tersebut manakala seorang lagi dibunuh. Raja tersebut seterusnya menegaskan bahawa itulah maksud bahawa dia juga berkuasa untuk menghidupkan dan mematikan (Ibnu Kathir, 1994 : 386).

Nabi Ibrahim beralih kepada hujjah yang kedua di mana baginda menyatakan bahawa Allah SWT berkuasa untuk mendatangkan matahari daripada timur dan menenggelamkannya di arah Barat. Raja tersebut dicabar untuk mendatangkan matahari dari arah Barat bagi menunjukkan bahawa dia lebih berkuasa daripada Allah SWT. Raja tersebut tidak dapat memenuhi cabaran itu lalu seterusnya hanya mampu berdiam diri (Ibnu Kathir, 1994 : 386). Namun demikian, dia tetap juga tidak beriman dengan Nabi Ibrahim.

Manhaj-manhaj Dakwah

Berdepan dengan penguasa untuk menyatakan kebenaran bukanlah satu tugas yang senang untuk dilakukan. Perbuatan sedemikian boleh mendatangkan kesusahan dan kemudharatan sekiranya pendakwah tidak benar-benar yakin kepada Allah SWT. Nabi Ibrahim terbukti terdiri daripada kalangan orang-orang yang yakin kepada Allah SWT apabila baginda berani berdiri berdepan dengan raja yang mengaku dirinya mempunyai kuasa ketuhanan.

Oleh kerana itulah , Allah SWT menyifatkan peristiwa ini sebagai peristiwa yang penting dan memulakan kisah tersebut dengan perkataan Ãáã ÊÑ yang bermaksud Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad). Sekalipun ayat ini ditujukan dengan Nabi Muhammad SAW, namun ia jelas sekali meminta supaya pembaca-pembaca Al-Quran mengambil iktibar dari peristiwa perdebatan di antara Nabi Ibrahim dan raja tersebut. Apa yang penting ialah bagaimana keyakinan dan kekuatan hujjah Nabi Ibrahim semasa berdepan dengan seorang yang mempunyai kuasa dan pengaruh. Dalam hal ini, butiran peribadi raja tersebut tidak disebut dengan jelas kerana itu bukanlah tujuan penceritaan peristiwa tersebut.

Nabi Ibrahim memulakan hujjah dengan menyatakan bahawa Allah SWT berkuasa untuk menghidupkan dan mematikan. Sebagaimana yang telah sedia maklum bahawa persoalan kematian dan kehidupan ialah persoalan penting dalam kehidupan manusia. Malah jika dilihat secara jujur, sepatutnya tidak ada seorangpun di kalangan manusia yang mendakwa dirinya mempunyai kuasa untuk menghidupkan dan mematikan. Pastinya manusia mengetahui bahawa bukan dirinya yang menghidupkan, memberi rezeki, menetapkan jodoh dan takdir dan juga mendatangkan kematian. Nabi Ibrahim memilih persoalan semudah ini untuk membuktikan bahawa Allah SWT merupakan tuhan yang berhak disembah. Hujjah yang dibawa oleh Nabi Ibrahim mengandungi satu pengajaran bahawa untuk memulakan sebarang usaha dakwah, hujjah dan proses pembuktian haruslah berlegar sekitar persoalan-persoalan yang mampu difikirkan oleh sasaran dakwah.

Sepatutnya hujjah pertama daripada Nabi Ibrahim sudah mampu untuk menyedarkan raja tersebut betapa kerdilnya kuasa yang dia miliki. Namun, kepentingan untuk terus berkuasa sebagai tuhan yang disembah manusia mengaburi hati sehingga tidak dapat menerima kebenaran hujjah Nabi Ibrahim. Lantaran itu, raja tersebut membantah hujjah Nabi Ibrahim dengan mendatangkan hujjah yang rapuh dan tidak boleh diterima oleh akal. Perbuatan raja tersebut mendatangkan dua orang lelaki lalu diperintah supara dibunuh salah seorang darinya dan dilepaskan seorang yang lain ialah perbuatan yang tidak boleh dikira sebagai hujjah. Sifat ‘menghidupkan’ seperti yang didakwa dimiliki oleh raja tersebut jauh berbeza sama sekali dengan sifat ‘menghidupkan’ yang dimiliki oleh Allah SWT. Hakikat ini disedari oleh raja tersebut, namun kepentingan untuk terus berkuasa sebagai tuhan menyebabkan dirinya tidak mahu mengalah kepada Nabi Ibrahim. Pendakwah perlu berhati-hati dan sentiasa bersedia untuk berdepan dengan golongan seperti ini. Inilah golongan yang sudah mempunyai hati yang keras dan tidak mahu lagi menerima kebenaran sekalipun ia sudah jelas menjelma di hadapan mereka.

Nabi Ibrahim tidak berhenti setakat itu sahaja. Seorang pendakwah seharusnya licik mengemukakan hujjah dan kepintaran berhujahlah yang menjadi bekal utama kepada Nabi Ibrahim untuk berdepan dengan raja tersebut. Apa yang pasti ialah Nabi Ibrahim tentunya sudah menguasai seni komunikasi dan mempunyai kepintaran dalam mengemukakan hujjah. Methodologi yang digunakan oleh Nabi Ibrahim adalah contoh yang terbaik kepada para pendakwah dalam mengemukakan mesej dakwah. Para pendakwah semestinya menguasai seni berhujjah agar dapat menjadikan ia sebagai satu senjata dalam menyebarkan dakwah. Islam sendiri adalah merupakan sebuah agama yang tidak membenarkan sama sekali wujudnya kepercayaan taklid buta yang tidak bersandarkan kepada ilmu dan hujjah. Ini ditegaskan oleh Allah SWT (Surah Al-Baqarah : 111) :

Maksudnya :

Katakanlah (wahai Muhammad): "Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar".

Hujjah Nabi Ibrahim yang seterusnya ialah berkaitan dengan alam semesta sendiri. Nyata sekali, seandainya Nabi Ibrahim berdepan dengan kaumnya, baginda turut menggunakan hujjah yang berkaitan dengan alam semesta, begitu juga apabila berdepan dengan raja yang merupakan seorang pemimpin, baginda turut menggunakan hujjah yang mempunyai kaitan rapat dengan pemerhatian terhadap alam semesta. Ia adalah satu simbolik yang cukup jelas dalam menggambarkan rapatnya hubungan di antara kaum Nabi Ibrahim dengan alam semesta. Apatah lagi, antara sembahan kaum Nabi Ibrahim selain dari berhala-berhala ialah alam semesta sendiri. Mereka menyembah bintang, bulan dan matahari. Oleh kerana itulah, apabila Nabi Ibrahim berhujjah, baginda menggunakan contoh dan perbandingan yang mempunyai kaitan rapat dengan pendengar dan sasaran dakwah. Allah SWT turut mengajar pendakwah menggunakan pendekatan sedemikian semasa mengemukakan mesej dakwah. Jika diperhatikan, Allah SWT sendiri menggunakan contoh dan perbandingan yang mempunyai kaitan rapat dengan pembaca Al-Quran yang terdiri daripada bangsa Arab semasa berfirman (Surah Al-Ghaasyiyah : 17) :

Maksudnya :

(Mengapa mereka yang kafir masih mengingkari akhirat) tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta bagaimana ia diciptakan?

Umum mengetahui bahawa kaum Arab begitu rapat dengan penggunaan unta sebagai binatang tunggangan. Maka Allah SWT menjadikan unta sebagai satu perbandingan yang cukup jelas dalam menyatakan kekuasaanNya. Oleh yang demikian, golongan pendakwah amatlah dikehendaki menjadikan manhaj ini sebagai contoh dalam menyampaikan mesej kepada sasaran. Kebijaksanaan dalam mengatur hujjah dan menyusun contoh-contoh yang rapat dengan sasaran dakwah adalah satu keperluan yang cukup ketara kepada pendakwah.

Apabila Nabi Ibrahim mencabar raja tersebut supaya mendatangkan matahari dari arah Barat bertentangan dari arah terbitnya yang biasa sebelum ini, Al-Quran menceritakan raja tersebut diam tanpa dapat berhujah apa-apa. Bagaimanapun tidak diceritakan sama sekali adakah raja tersebut menerima seruan dakwah Nabi Ibrahim atau menolaknya. Walaupun demikian, apabila Allah SWT menyebut selepas daripada kisah tersebut Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim (Al-Baqarah, 258), ini membawa makna tersirat bahawa raja tersebut tetap dengan keengganannya untuk menerima dakwah Nabi Ibrahim dan mengakui kebenarannya. Keengganan raja tersebut menerima dakwah Nabi Ibrahim mewakili sifat manusia yang sememangnya degil untuk menerima kebenaran. Golongan seperti ini sentiasa wujud dari zaman berzaman. Mereka sama sekali tidak akan tunduk kepada kebenaran sekalipun sudah nyata dan jelas mereka tidak mampu untuk berdepan dengan kebenaran Islam dengan berhujjah. Allah SWT menegaskan perkara ini di dalam Surah Al-An’am, ayat 111 :

Maksudnya :

Dan jika Kami turunkan malaikat pun kepada mereka, dan orang-orang yang mati (hidup semula lalu) berkata-kata dengan mereka, dan kami himpunkan pula tiap-tiap sesuatu di hadapan mereka (untuk menjadi saksi tentang kebenaran Nabi Muhammad), nescaya mereka tidak juga akan beriman, kecuali jika dikehendaki Allah; tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenar).

BAB KEEMPAT : NABI IBRAHIM MENGHANCURKAN BERHALA DAN BAGINDA DILEMPARKAN KE DALAM API

Apabila Nabi Ibrahim menyeru ayahnya supaya menerima kebenaran, seruannya ditolak. Begitu juga yang berlaku apabila baginda menyeru kaum dan raja di zamannya, seruannya juga ditolak. Maka Nabi Ibrahim seterusnya melihat sebab utama seruannya ditolak ialah kerana wujudnya berhala-berhala yang dianggap sebagai tuhan oleh kaumnya. Nabi Ibrahim kemudiannya mengambil langkah untuk menghancurkan berhala-berhala tersebut. Peristiwa ini dinyatakan beberapa kali di dalam Al-Quran. Antaranya ialah di dalam Surah Al-Anbiya’, ayat 57 - 70 sebagaimana berikut :


Maksudnya :

"Dan demi Allah, aku akan jalankan rancangan terhadap berhala-berhala kamu, sesudah kamu pergi meninggalkan (rumah berhala ini)". Lalu ia memecahkan semuanya berketul-ketul, kecuali sebuah berhala mereka yang besar (dibiarkannya), supaya mereka kembali kepadanya. (Setelah melihat kejadian itu) mereka bertanya: "Siapakah yang melakukan perbuatan yang demikian terhadap tuhan-tuhan kami? Sesungguhnya adalah ia dari orang-orang yang zalim". (Setengah dari) mereka berkata: "Kami ada mendengar seorang anak muda bernama Ibrahim, mencacinya". (Ketua-ketua) mereka berkata: "Jika demikian, bawalah dia di hadapan orang ramai supaya mereka menyaksikan (tindakan mengenainya). (Setelah ia dibawa ke situ) mereka bertanya: "Engkaukah yang melakukan demikian kepada tuhan-tuhan kami, hai Ibrahim?" (Setelah ia dibawa ke situ) mereka bertanya: "Engkaukah yang melakukan demikian kepada tuhan-tuhan kami, hai Ibrahim?" Ia menjawab: "(Tidak) bahkan yang melakukannya ialah (berhala) yang besar di antara mereka ini! Maka bertanyalah kamu kepada mereka kalau-kalau mereka dapat berkata-kata".Maka mereka (penyembah berhala) kembali kepada diri mereka (memikirkan hal itu) lalu berkata (sesama sendiri): "Sesungguhnya kamulah sendiri orang-orang yang zalim".Kemudian mereka terbalik fikirannya kepada kesesatan, lalu berkata: "Sesungguhnya engkau (hai Ibrahim), telah sedia mengetahui bahawa berhala-berhala itu tidak dapat berkata-kata (maka betapa engkau menyuruh kami bertanya kepadanya)?" Nabi Ibrahim berkata: "Jika demikian, patutkah kamu menyembah yang lain dari Allah sesuatu yang tidak dapat mendatangkan faedah sedikitpun kepada kamu, dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepada kamu? "Jijik perasaanku terhadap kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah! Maka mengapa kamu tidak mahu menggunakan akal fikiran kamu?" (Setelah tidak dapat berhujah lagi, ketua-ketua) mereka berkata: "Bakarlah dia dan belalah tuhan-tuhan kamu, jika betul kamu mahu bertindak membelanya!" Kami berfirman: "Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim! ".Dan mereka (dengan perbuatan membakarnya itu) hendak melakukan angkara yang menyakitinya, lalu Kami jadikan mereka orang-orang yang amat rugi, (kalah dengan hinanya).

Selain daripada Surah Al-Anbiya’, kisah Nabi Ibrahim menghancurkan berhala juga disebut oleh Allah SWT di dalam Surah As-Shaffat, ayat 83 – 94. Berlainan dengan Surah Al-Anbiya’, Surah As-Shaffat menceritakan bagaimana Nabi Ibrahim memberitahu kaumnya bahawa baginda sakit dan tidak dapat turut keluar berhari raya bersama-sama dengan kaumnya.

Seterusnya, Nabi Ibrahim ditinggalkan keseorangan namun sebelum daripada itu, Nabi Ibrahim telah merancang untuk melakukan sesuatu kepada berhala-berhala sembahan kaumnya. Al-Quran memberitahu bahawa Nabi Ibrahim telah bersumpah dengan nama Allah untuk melakukan sesuatu terhadap berhala-berhala tersebut, namun lafaz tersebut tidak didengari oleh kaumnya kecuali beberapa orang sahaja. (Ibnu Kathir, 3 : 223). Nabi Ibrahim lalu memasuki tempat tersimpannya berhala-berhala dan mendapati terdapat makanan-makanan di hadapan berhala-berhala tersebut. Sebagaimana yang disebut di dalam ayat 81-82 Surah As-Shaffat, Nabi Ibrahim bertanya kepada berhala-berhala tersebut dalam keadaan mengejek kenapakah mereka tidak menyentuh makanan-makanan tersebut.

Apabila berhala-berhala tersebut tidak menjawab, Nabi Ibrahim lantas menghancurkan berhala-berhala tersebut satu persatu dengan menggunakan tangan kanannya. Di dalam Surah Al-Anbiya’ ayat 58 menyebut bahawa Nabi Ibrahim hanya meninggalkan berhala yang paling besar. Apabila kaumnya kembali ke tempat mereka, mereka lantas bertanya sesama sendiri siapakah yang melakukan perkara tersebut terhadap berhala-berhala sembahan mereka. Lalu, Nabi Ibrahim menjadi orang yang disyaki kerana celaannya kepada berhala-berhala tersebut sebelum itu. Nabi Ibrahim lantas dibawa ke muka pengadilan untuk disiasat dan dijatuhkan hukuman.

Di sinilah berlakunya perdebatan di antara Nabi Ibrahim dan kaumnya apabila Nabi Ibrahim mencabar mereka supaya bertanya kepada berhala yang paling besar. Bahkan Nabi Ibrahim menegaskan bahawa yang melakukan perkara tersebut ialah berhala yang paling besar. Ini bukanlah bererti Nabi Ibrahim telah berbohong, bahkan ia merupakan satu herdikan kepada penyembah-penyembah berhala itu. Ini kerana, tidak dapat tidak kaumnya sebenarnya sudah meyakini bahawa orang yang melakukan perbuatan itu ialah Nabi Ibrahim. Cabaran Nabi Ibrahim tersebut sebenarnya sudah mampu mengalahkan kaumnya sekiranya diukur dari sudut kekuatan hujjah, namun kaumnya tetap berdegil untuk tidak menerima kebenaran yang dibawa oleh Nabi Ibrahim. Kedegilan tersebut akhirnya diserlahkan dengan menghukum Nabi Ibrahim supaya dibakar hidup-hidup. Di dalam Surah As-Shaffat, ayat 97 diceritakan bahawa kaumnya membina satu tempat yang khusus untuk membakar Nabi Ibrahim namun Nabi Ibrahim diselamatkan oleh Allah SWT. Api yang menjulang-julang ternyata tidak membakar Nabi Ibrahim apabila baginda dicampakkan ke dalamnya.

Manhaj-manhaj Dakwah

Di dalam peristiwa penghancuran berhala ini, Nabi Ibrahim menggunakan beberapa manhaj yang tidak pernah digunakan sebelumnya. Antaranya ialah, tipudaya yang bertujuan untuk melakukan kebaikan. Ini terbukti apabila Nabi Ibrahim menyatakan kepada kaumnya Åäí ÓÞíã yang bermaksud aku sakit. Bagaimanapun, lafaz ÓÞíã di dalam kata-kata Nabi Ibrahim tersebut mengandungi pelbagai maksud. Sekalipun maksud zahirnya ialah sakit, namun apa yang dimaksudkan oleh Nabi Ibrahim ialah ‘sakit’ hati dan sanubari akibat apa yang dilakukan oleh kaumnya (Solah Al-Khalidi, 1997, 1 : 345). Lafaz tersebut difahami oleh kaumnya sebagai sakit yang sebenar iaitu sakit jasmani. Apa yang ingin diutarakan ialah bagaimana kepintaran Nabi Ibrahim menggunakan lafaz yang tidak boleh dianggap sebagai berbohong namun difahami dengan maksud lain oleh kaumnya. Islam membenarkan muslihart-muslihat sebegini selagi mana ia bertujuan untuk kebaikan dan kemaslahatan dakwah. Tidak semua tempat diwajibkan bercakap benar sehingga membahayakan gerakan dakwah. Konsep hazr (kerahsiaan) dalam gerakan dakwah menjadi satu teras kepada mana-mana gerakan Islam yang berdepan dengan cabaran dan tribulasi di hadapan mereka.

Selain daripada itu, Al-Quran menunjukkan dengan jelas bagaimana Nabi Ibrahim mempunyai perancangan-perancangannya yang tersendiri di dalam menghancurkan berhala-berhala sembahan kaumnya. Allah SWT berfirman di dalam Surah As-Shaffat, ayat 81 – 82 :

Maksudnya :

Kemudian ia memandang dengan satu renungan kepada bintang-bintang (yang bertaburan di langit), Lalu berkata: "Sesungguhnya aku merasa sakit (tak dapat turut berhari raya sama)".

Pandangan Nabi Ibrahim kepada bintang-bintang adalah bertujuan untuk mengukur waktu yang sesuai untuk menghancurkan berhala-berhala. Dengan melihat kepada bintang-bintang, nyatalah bahawa waktu untuk kaumnya berhari raya sudahpun hampir dan ini bererti berhala-berhala tersebut akan ditinggalkan tanpa sebarang penjaga. Ini membawa makna bahawa Nabi Ibrahim sudahpun merancang tindakannya dari awal lagi. Perancangan ini juga boleh dilihat di dalam kata-kata Nabi Ibrahim di dalam Surah Al-Anbiyaa’, ayat 57 :

Maksudnya :

"Dan demi Allah, aku akan jalankan rancangan terhadap berhala-berhala kamu, sesudah kamu pergi meninggalkan (rumah berhala ini)".

Kata-kata Nabi Ibrahim ini diucapkan sebelum daripada kaumnya berangkat keluar dan tidak didengari kecuali oleh beberapa orang sahaja. Ini semua menunjukkan bahawa gerak kerja untuk menghancurkan berhala-berhala tersebut biarpun dilakukan di dalam masa yang singkat, namun perancangan untuk melakukannya sudahpun diatur sejak daripada awal lagi. Terbuktilah bahawa Nabi Ibrahim ialah seorang yang bertindak secara terancang. Perancangan dan penjadualan dalam gerak kerja seperti inilah yang mahu ditonjolkan di dalam kisah Nabi Ibrahim ini. Proses untuk menyebarkan dakwah sewajarnya dilakukan secara terancang dan tersusun, bukan hanya sekadar membiarkan gerak kerja dakwah bergerak tanpa perancangan. Seandainya Nabi Ibrahim tidak mempunyai perancangan yang betul, pastilah tindakannya untuk menghancurkan berhala-berhala tersebut tidak akan berjaya dan menemui kegagalan. Begitulah juga di dalam proses gerak kerja dakwah, sebarang tindakan yang tidak disertai dengan perancangan kebiasaannya tidak berjaya. Malah seandainya ia mendapat kejayaan sekalipun, ia pasti tidak sebesar yang diharapkan. Allah SWT berfirman (Surah As-Shaff, ayat 4)
Maksudnya :

Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela ugamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.

Gerak kerja terancang Nabi Ibrahim juga boleh dilihat daripada tindakannya menghancurkan semua berhala-berhala kecuali yang paling besar. Ini disebut di dalam Surah Al-Anbiyaa’, ayat 58. Jelaslah bahawa Nabi Ibrahim sudahpun merancang daripada awal lagi bahawa perbahasan antara baginda dan kaumnya pasti akan berlaku. Oleh yang demikian, berhala yang paling besar itulah yang akan dijadikan sebagai bahan hujjah apabila berdepan dengan kaumnya nanti. Cabaran yang akan dikemukakan oleh Nabi Ibrahim iaitu supaya kaumnya mengajukan pertanyaan kepada berhala yang paling besar sudahpun dirancang sejak daripada awal lagi. Semua ini membuktikan bahawa sebarang gerak kerja di dalam urusan dakwah haruslah dirancang dengan teliti satu persatu sebelum dilaksanakan.

Pengajaran seterusnya daripada kisah penghancuran berhala ini dapat dilihat daripada kata-kata orang-orang kafir tersebut iaitu "Kami ada mendengar seorang anak muda bernama Ibrahim, mencacinya". Kata-kata ini membuktikan bahawa Nabi Ibrahim ketika bertindak menghancurkan berhala masih lagi merupakan seorang anak muda. Umur baginda secara tepat tidak dinyatakan, namun secara umumnya, seorang anak muda tentulah tidak lebih dari umur 40 tahun. Ia membuktikan bahawa pemuda sebenarnya aset penting kepada gerakan dakwah. Umur muda Nabi Ibrahim tidak digunakan untuk berseronok tetapi digunakan untuk melakukan sesuatu yang menjadi sebutan sejarah turun temurun. Inilah martabat pemuda yang sebenar di dalam Islam. Al-Quran juga menceritakan kisah Ashabul Kahfi dengan menyebut lafaz pemuda. Firman Allah SWT (Al-Kahfi, ayat 13) :

Maksudnya :

Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.

Lafaz pemuda di dalam ayat ini lebih jelas daripada lafaz pemuda yang disebut di dalam kisah Nabi Ibrahim. Ini kerana lafaz pemuda di dalam Surah Al-Anbiya’ diucapkan oleh orang-orang kafir tetapi di dalam Surah Al-Kahfi adalah firman Allah SWT sendiri. Bagaimanapun, kedua-dua diterima sebagai pemuda kerana di dalam Surah Al-Anbiya’, tidak terdapat sebarang penafian terhadap kata-kata orang-orang kafir tersebut. Apa yang nyata dan jelas ialah, Nabi Ibrahim dan Ashabul Kahfi terdiri daripada orang-orang yang muda semasa melakar sejarah sebagai para pejuang. Oleh yang demikian, di dalam merencanakan gerakan dakwah masa kini, golongan pemuda tidak sepatutnya ketinggalan untuk turut sama membantu memberikan sumbangan kepada gerakan dakwah.

Kepintaran Nabi Ibrahim berhujjah dapat dilihat seterusnya di dalam jawapan baginda ketika ditanya oleh orang-orang kafir tentang berhala-berhala yang dihancurkan itu. Nabi Ibrahim menjawab, "(Tidak) bahkan yang melakukannya ialah (berhala) yang besar di antara mereka ini! Maka bertanyalah kamu kepada mereka kalau-kalau mereka dapat berkata-kata". Helah inilah yang sebenarnya dirancang oleh Nabi Ibrahim sejak daripada awal lagi iaitu memindahkan beban tuduhan kepada berhala yang paling besar. Ia adalah bertujuan supaya kaumnya berfikir betapa silapnya mereka menjadikan berhala sebagai sembahan selama ini. Seandainya berhala-berhala tersebut berkuasa, sepatutnya mereka boleh mempertahankan diri mereka daripada dihancurkan. Tambahan pula, mereka ‘dikawal’ oleh berhala yang paling besar. Namun, itu semua tidak berlaku sebagaimana sepatutnya. Inilah ruang yang digunakan sebaik-baiknya oleh Nabi Ibrahim untuk mengajak kaumnya menggunakan akal dalam membuat pendirian dalam soal akidah.

Nabi Ibrahim sebenarnya sudah berjaya dan mendapat kemenangan dari sudut rasional dan hujjah. Ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam Surah Al-Anbiya’, ayat 64 :

ÝÑÌÚæÇ Åáì ÃäÝÓåã ÝÞÇáæÇ Åäßã ÃäÊã ÇáÙÇáãæä

Maksudnya :

Maka mereka (penyembah berhala) kembali kepada diri mereka (memikirkan hal itu) lalu berkata (sesama sendiri): "Sesungguhnya kamulah sendiri orang-orang yang zalim".

Dinyatakan dengan jelas bahawa penyembah-penyembah berhala itu kembali kepada diri mereka iaitu fitrah. Mereka mengakui sebenarnya bahawa mereka termasuk di kalangan orang-orang yang zalim apabila menjadikan berhala-berhala sebagai sembahan. Ini menunjukkan manhaj dakwah Nabi Ibrahim sudah memperlihatkan kejayaan, cuma apa yang menghalang kaumnya daripada beriman hanyalah kedegilan dan keangkuhan. Allah SWT seterusnya menyatakan (Al-Anbiya’, ayat 65) :

Ëã äßÓæÇ Úáì ÑÁæÓåã áÞÏ ÚáãÊ ãÇ åÄáÇÁ íäØÞæä

Maksudnya :

Kemudian mereka terbalik fikirannya kepada kesesatan, lalu berkata: "Sesungguhnya engkau (hai Ibrahim), telah sedia mengetahui bahawa berhala-berhala itu tidak dapat berkata-kata (maka betapa engkau menyuruh kami bertanya kepadanya)?"

Inilah sikap penentang-penentang dakwah dari zaman Nabi Ibrahim sehingga ke hari kiamat. Kebenaran mesej dakwah sebenarnya sudah dibuktikan melalui pelbagai cara dan bukti, bagaimanapun kedegilan hati manusia tetap tidak akan menerima kebenaran selagi mereka mempunyai kepentingan untuk terus berada di dalam kesesatan. Sikap kaum Nabi Ibrahim sebenarnya mewakili sikap orang-orang kafir yang enggan menerima kebenaran walaupun sudah terbukti di hadapan mereka. Golongan ini tetap wujud di zaman mana sekalipun.


Kekalahan dan kebatilan penyembah-penyembah berhala itu kian terserlah apabila Nabi Ibrahim sekali lagi mengutarakan hujjah yang bernas dan kuat apabila berkata :

ÞÇá ÃÝÊÚÈÏæä ãä Ïæä Çááå ãÇ áÇ íäÝÚßã ÔíÆÇ æáÇ íÖÑßã

Maksudnya :

Nabi Ibrahim berkata: "Jika demikian, patutkah kamu menyembah yang lain dari Allah sesuatu yang tidak dapat mendatangkan faedah sedikitpun kepada kamu, dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepada kamu?

Inilah titik hujjah sebenar Nabi Ibrahim kepada kaumnya. Segala apa yang dilakukan sebelum ini ialah untuk menyedarkan kaumnya bahawa tuhan-tuhan yang mereka sembah itu tidak dapat mendatangkan manfaat sedikitpun kepada mereka. Kekuatan berhujjah yang dimiliki oleh Nabi Ibrahim ini merupakan satu pengajaran berharga kepada pendokong-pendokong gerakan dakwah.

Manhaj Nabi Ibrahim seterusnya apabila berdepan dengan kaumnya yang degil ialah dengan menggunakan celaan dan makian. Namun, ia hanya digunakan apabila segala macam bentuk nasihat dan peringatan yang lain tidak mendatangkan kesan. Nabi Ibrahim seterusnya berkata (Al-Anbiyaa’, 67) :

ÃÝ áßã æáãÇ ÊÚÈÏæä ãä Ïæä Çááå ÃÝáÇ ÊÚÞáæä

Maksudnya :

"Jijik perasaanku terhadap kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah! Maka mengapa kamu tidak mahu menggunakan akal fikiran kamu?"

Kata-kata ini sebenarnya adalah satu celaan kepada kaumnya yang tidak mahu menggunakan akal dalam menentukan kebenaran, malah mereka sanggup untuk terus berada di dalam kesesatan sekalipun ia sudah terbukti sebagai sesat. Celaan ini bukanlah bertujuan untuk merendah-rendahkan kaumnya, tetapi bertujuan supaya kaumnya tersentak dengan penggunaan kata-kata yang sedemikian rupa dan merenung kembali pendirian mereka. Inilah salah satu uslub dakwah yang boleh digunakan pada masa-masa yang tertentu. Secara umumnya, mesej dakwah sepatutnya disampaikan dengan bahasa dan pertuturan yang baik, namun dalam beberapa keadaan, uslub bahasa celaan dan makian yang tidak keterlaluan dibenarkan ketika dilihat sasaran dakwah tetap dengan kedegilan mereka. Allah SWT berfirman (An-Nahl, 125) :

ÇÏÚ Åáì ÓÈíá ÑÈß ÈÇáÍßãÉ æÇáãæÚÙÉ ÇáÍÓäÉ æÌÇÏáåã ÈÇáÊí åí ÃÍÓä

Maksudnya :

Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik;

Ini ialah bukti bahawa asas kepada penyampaian dakwah iaitu menggunakan bahasa dan uslub yang baik, namun uslub celaan dan makian tetap dibenarkan pada waktu-waktu yang tertentu dan tidak mencacatkan dakwah itu sendiri.

Kedegilan kaum Nabi Ibrahim sampai ke kemuncak apabila menjatuhkan hukuman bunuh kepada Nabi Ibrahim. Nabi Ibrahim diperintahkan supaya dibakar hidup-hidup di atas kesalahannya menghancurkan berhala-berhala mereka. Hukuman terhadap Nabi Ibrahim ini mencerminkan tribulasi yang dihadapi oleh pendakwah iaitu ia boleh sampai ke tahap mereka terpaksa menyerahkan nyawa mereka sendiri. Di dalam sejarah dakwah, bukan sahaja Nabi Ibrahim yang pernah dijatuhkan hukuman bunuh kerana menyebarkan kebenaran, bahkan sudah ramai yang terkorban semata-mata untuk mempertahankan Islam. Di dalam kisah Nabi Ibrahim, terbukti bahawa baginda tetap tabah sekalipun menerima hukuman bunuh. Ia mencerminkan sikap pendakwah yang sepatutnya bersedia untuk menghadapi apa jua rintangan dan hukuman untuk mempertahankan agama. Hukuman yang diterima tidak sepatutnya melemahkan semangat para pendakwah untuk terus berjuang dan berdakwah kerana mereka yakin bahawa ganjaran yang menunggu di sisi Allah SWT lebih besar dan mulia. Allah SWT mengingatkan kepada para pendakwah dengan firmanNya (Ali-Imran, 142) :

Ãã ÍÓÈÊã Ãä ÊÏÎáæÇ ÇáÌäÉ æáãÇ íÚáã Çááå ÇáÐíä ÌÇåÏæÇ ãäßã æíÚáã ÇáÕÇÈÑíä

Maksudnya :

Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?

Apabila Nabi Ibrahim dicampakkan ke dalam api, Nabi Ibrahim ternyata mempelihatkan satu lagi sifat yang perlu ada kepada seorang pendakwah iaitu tawakkal dan pergantungan kepada Allah SWT. Disebut dalam satu hadis sebagaimana berikut (Bukhari, Shahih, (k) Tafsir Al-Quran, (no) 4197) :

Maksudnya :

Daripada Ibnu Abbas menyatakan ("Cukuplah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)" diucapkan oleh Ibrahim ‘alahis-Salam apabila dilemparkan ke dalam api dan diucapkan oleh Muhammad SAW apabila manusia berkata (Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya". Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: "Cukuplah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)".

Berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari yang datangnya dari Ibnu Abbas ini, jelaslah bahawa perkataan Nabi Ibrahim apabila dilemparkan ke dalam api ialah ÍÓÈäÇ Çááå æäÚã Çáæßíá yang bermaksud Cukuplah Allah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)". Inilah juga ucapan yang diucapkan oleh Nabi Muhammad SAW apabila diancam dengan kepungan dari kaum musyrikin. Semua ini menunjukkan bahawa antara sifat seorang pendakwah ialah bertawakkal dan bergantung harap hanya kepada Allah SWT. Jika dilihat kepada keadaan yang menimpa Nabi Ibrahim, jelaslah bahawa situasi yang dihadapi oleh baginda ialah satu situasi yang paling mendebarkan. Baginda dihadapkan dengan keadaan yang akan menentukan hidup dan mati baginda. Namun, pada masa demikian, pergantungannya tetap kepada Allah SWT. Ini adalah berdasarkan keyakinan bahawa Allah SWT adalah Pencipta langit dan bumi. Dialah yang berkuasa untuk menentukan hidup dan mati seseorang dan bukannya orang-orang yang kafir penyembah berhala. Sifat sedemikian sepatutnya dipupuk oleh golongan pendakwah.

Tawakkal Nabi Ibrahim tersebut ternyata tidak disia-siakan oleh Allah SWT. Kejadian yang seterusnya membuktikan bahawa sekalipun setiap benda mempunyai tugasnya masing-masing, namun yang menentukannya ialah Allah SWT. Dalam erti kata lain, hukum adat adalah tertakluk di bawah kuasa Allah SWT. Sebagai contoh api yang sepatutnya membakar Nabi Ibrahim, apabila tidak mendapat keizinan daripada Allah, sifat membakar yang ada padanya tidak akan berfungsi. Allah SWT berfirman (Al-Anbiyaa’, 69) :

Maksudnya :

Kami berfirman: "Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim!

Dengan terselamatnya Nabi Ibrahim daripada api yang dinyalakan khas untuk membakar dirinya, Allah SWT mengira ia sebagai satu kekalahan kepada orang-orang kafir. Ini disifatkan melalui firmanNya (Al-Anbiyaa’, 70) :

Maksudnya :

lalu Kami jadikan mereka orang-orang yang amat rugi, (kalah dengan hinanya).

Inilah kesudahan kepada orang-orang yang menentang ajaran Allah SWT, ia pasti akan berakhir dengan kekalahan. Manakala kemenangan Nabi Ibrahim bukanlah semata-mata kerana baginda terselamat daripada api, bahkan kerana baginda membawa risalah kebenaran. Sesungguhnya, pendakwah-pendakwah yang menjalankan urusan dakwah sebenarnya mendapat kemenangan sekalipun terpaksa berdepan dengan pelbagai ujian di dunia. Ini kerana, ganjaran yang besar sebenarnya sedang menanti dia akhirat kelak.

BAB KELIMA : KESIMPULAN

Allah SWT berfirman (Al-Mumtahanah, 4) :

Maksudnya :

Sesungguhnya adalah bagi kamu pada bawaan Nabi Ibrahim (a.s) dan pengikut-pengikutnya - contoh ikutan yang baik, semasa mereka berkata kepada kaumnya (yang kufur ingkar): "Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dan daripada apa yang kamu sembah yang lain dari Allah; kami kufur ingkarkan (segala penyembahan) kamu dan (dengan ini) nyatalah perasaan permusuhan dan kebencian di antara kami dengan kamu selama-lamanya, sehingga kamu menyembah Allah semata-mata"

Inilah penegasan daripada Allah SWT bahawa Nabi Ibrahim adalah merupakan contoh kepada umat manusia sehinggalah ke hari ini. Pengajaran-pengajaran yang dapat diambil daripada perjalanan dakwah Nabi Ibrahim adalah menjadi satu model ikutan kepada pendakwah-pendakwah yang sentiasa berusaha menyebarkan mesej dakwahnya.

Secara keseluruhannya, Nabi Ibrahim menggunakan pelbagai manhaj dalam menyampaikan dakwahnya. Manhaj-manhaj tersebut secara umumnya boleh disimpulkan seperti berikut :



1. Kekuatan hujjah dan ajakan untuk menggunakan akal fikiran yang sempurna dalam menyebarkan dakwah

Ini ialah manhaj pertama dan terpenting sepanjang dakwah Nabi Ibrahim kepada ayah, kaum dan raja di zamannya. Kekuatan hujjah Nabi Ibrahim terbukti apabila menyeru ayahnya supaya meninggalkan penyembahan berhala dengan terlebih dahulu mengajak ayahnya berfikir kembali dengan menggunakan neraca penilaian yang bijaksana. Demikian juga apabila Nabi Ibrahim menyeru kaumnya, hujjah-hujjah dan ajakan supaya berfikir menggunakan akal fikiran yang waras digunakan sepenuhnya khususnya apabila baginda mengajak kaumnya menolak amalan penyembahan cakerawala. Ia juga terbukt isemasa Nabi Ibrahim berhujjah di dalam peristiwa penghancuran berhala. Satu persatu hujjah Nabi Ibrahim tidak dapat dipatahkan sama sekali oleh penyembah-penyembah berhala. Namun sayangnya, kekufuran dan kedegilan mereka menghalang mereka daripada menerima cahaya kebenaran.

Proses pembentangan hujjah dan dalil juga berlaku ketika Nabi Ibrahim berdebat dengan seorang raja di zamannya. Sekalipun raja tersebut juga turut mengemukakan hujjah dan bukti yang menyokong ketuhanannya, jelas sekali ia tidak mampu mengatasi hujjah Nabi Ibrahim. Kemenangan dan kebenaran berpihak kepada Nabi Ibrahim semasa berdebat dengan raja tersebut. Namun sebagaimana biasa, golongan yang tidak mahu menerima kebenaran pasti akan terus kekal dalam kekafiran selagi tidak diberikan petunjuk oleh Allah SWT.



2. Gaya bahasa yang sesuai dengan situasi

Nabi Ibrahim menggunakan gaya bahasa yang paling sesuai apabila berhadapan dengan sasaran dakwah yang berbeza-beza. Jika diperhatikan dakwah Nabi Ibrahim kepada ayahnya mengandungi pelbagai unsur-unsur kasih sayang sesuai dengan sifatnya sebagai seorang anak di samping seorang rasul yang diutuskan oleh Allah SWT. Lafaz ÃÈÊ yang bermaksud ayah kesayanganku digunakan sekalipun jelas dakwahnya telah ditolak oleh ayahnya sendiri. Ini berbeza apabila sasaran dakwahnya merupakan masyarakat umum, Nabi Ibrahim menggunakan gaya bahasa yang sesuai sifat masyarakat yang biasanya menginginkan bukti dan hujjah yang kukuh. Malah dalam ketika tertentu, ternyata Nabi Ibrahim turut menggunakan perkataan-perkataan yang bermaksud celaan kepada penyembah-penyembah berhala. Perkataan ÃÝ áßã yang bermaksud Jijik perasaanku terhadap kamu nyata sekali merupakan satu celaan terhadap penyembah-penyembah berhala yang tetap ingkar menerima kebenaran sekalipun mereka sudah kalah di dalam perdebatan.

Harus ditekankan bahawa sekalipun uslub bahasa yang bersifat celaan ini dibenarkan di dalam Islam, namun ia hanya bleh digunakan pada waktu-waktu yang tertentu sahaja. Celaan dan makian yang dibiasakan di dalam usaha menyebarkan mesej dakwah akan menyebabkan fitnah kepada gerakan dakwah sendiri. Oleh yang demikian, di dalam menyampaikan mesej dakwah, sebaik-baiknya setiap individu pendakwah cuba mengelakkan diri dari menggunakan perkataan-perkataan sebegini kecuali apabila keadaan benar-benar memaksa.

3. Perancangan Dalam Melaksanakan Gerak Kerja

Di antara manhaj Nabi Ibrahim yang lain ialah mempunyai perancangan yang tersusun rapi apabila melakukan sebarang gerak kerja. Ini boleh dilihat apabila Nabi Ibrahim terlebih dahulu melihat kepada bintang-bintang di langit yang menunjukkan waktu berhari raya untuk kaumnya sudahpun hampir tiba. Ini sekaligus memberikan peluang kepada Nabi Ibrahim untuk merencanakan sesuatu terhadap berhala-berhala sembahan kaumnya. Ia dijelaskan lagi dengan ikrar Nabi Ibrahim sendiri kepada kaumnya bahawa dia akan menjalankan rancangan terhadap berhala-berhala sembahan kaumnya. Walaupun tidak disebut apakah rancangan tersebut, namun ia tentunya memberikan gambaran bahawa segalanya sudah dirancangkan oleh Nabi Ibrahim sejak daripada awal lagi.

Di sini terbukti bahawa Nabi Ibrahim tidak melakukan sesuatu perkara dan tindakan dengan serta merta bahkan didahului dengan perancangan yang rapi dan tersusun agar segala tindakannya tidak tergendala. Secara logiknya, sudah pastilah rumah berhala tersebut mempunyai pengawal setiap masa, tetapi Nabi Ibrahim sudah merencanakan tindakannya pada satu masa ang tidak ada pengawal di tempat tersebut iaitu pada hari raya kaumnya.

4. Berani Berdepan Dengan Ancaman

Nabi Ibrahim juga mempunyai sifat berani dalam menyebarkan dakwahnya. Keberanian ini dapat dilihat apabila Nabi Ibrahim berdepan dengan raja yang mengaku sebagai tuhan di zamannya. Kebiasaannya, sudah pastilah seorang raja akan mempunyai pengawal-pengawal yang ramai dan kekuasaan yang besar. Namun itu semua tidak menakutkan Nabi Ibrahim untuk menyatakan kebenaran dan melawan hujjah-hujjah raja tersebut. Tindakan baginda ini pastinya mendatangkan risiko yang tidak sedikit, apatah lagi memandangkan bahawa raja tersebut berhak menjatuhkan hukuman mati kepada sesiapa saja sekalipun.

Itu semua tidak menggentarkan Nabi Ibrahim. Malah keberanian baginda juga dapat dilihat dengan tindakannya menghancurkan berhala-berhala sembahan kaumnya. Nabi Ibrahim tentulah mengetahui bahawa tidak ada orang lain yang akan disyaki melainkan dirinya sendiri memandangkan bahawa hanya baginda sahaja yang berada di kawasan tersebut pada masa itu ditambah pula dengan sikapnya yang sering melawan amalan penyembahan berhala. Namun, tindakan menghancurkan berhala tersebut tetap dilakukan sekalipun risikonya terlalu besar.

Keberanian dan nekad yang ada pada diri Nabi Ibrahim ini adalah contoh yang terpuji yang sepatutnya dimiliki oleh para pendakwah. Biarpun tindakan Nabi Ibrahim seperti menghancurkan berhala tidak sesuai untuk dilaksanakan pada zaman sekarang, sekurang-kurangnya semangat yang dimiliki oleh baginda sepatutnya menjadi contoh yang paling baik dalam melakukan sebarang tindakan.

5. Tawakkal dan Pergantungan Kepada Allah SWT

Pergantungan hanya kepada Allah SWT juga menjadi salah satu ciri utama dalam dakwah Nabi Ibrahim. Dengan adanya sifat pergantungan seperti ini, Nabi Ibrahim mapu untuk melakukan apa sahaja yang secara logiknya tidak mampu untuk dilakukan oleh seorang individu. Pergantungan dan tawakkal ini boleh dilihat apabila Nabi Ibrahim diancam untuk dicampakkan masuk ke dalam api. Kata-kata Nabi Ibrahim ketika itu ÍÓÈäÇ Çááå æäÚã Çáæßíá yang bermaksud Cukuplah Allah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami membayangkan keteguhan tawakkal yang dimiliki oleh baginda.

Perlu dinyatakan bahawa Nabi Ibrahim tidak berdepan dengan seorang raja ataupun satu bala tentera kaumnya, tetapi baginda berdepan dengan satu sistem jahiliyyah yang mengagungkan penyembahan berhala, cakerawala malah menyembah raja mereka sendiri. Untuk berdepan dengan sistem yang telah mendasari ruang lingkup pemikiran masyakarat seperti ini bukan satu tugas yang mudah dan senang untuk dilaksanakan. Nabi Ibrahim ternyata sekali mempunyai pergantungan dan tawakkal yang kuat apabila dengan tenaga yang ada pada dirinya sebagai seorang individu masyarakat sanggup tampil ke hadapan untuk menyanggah tradisi dan adat yang diamalkan oleh masyarakat turun temurun.

Dalam konteks pendakwah pada hari ini, mempunyai pergantungan dan tawakkal kepada Allah SWT adalah merupakan kunci kejayaan. Malah jika seandainya gerakan dakwah mempunyai tenaga-tenaga yang ramai yang mempunyai rasa takut hanya kepada Allah, ia pastinya merupakan sebuah gerakan dakwah yang kuat. Bagaimanapun, tawakkal ini bukanlah bererti menyerahkan segala tugas dan urusan kepada Allah SWT tanpa berusaha, ia bermakna pergantungan dan rasa takut tidak wujud kepada sesama makhluk. Individu pendakwah yang mempunyai ciri-ciri seperti ini pastinya akan mendapat pertolongan oleh Allah SWT. Allah SWT berfirman (Al-Anfaal, 65) :

Maksudnya :

Wahai Nabi, peransangkanlah orang-orang yang beriman itu untuk berperang. Jika ada di antara kamu dua puluh yang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan dua ratus orang (dari pihak musuh yang kafir itu); dan jika ada di antara kamu seratus orang, nescaya mereka dapat menewaskan seribu orang dari golongan yang kafir, disebabkan mereka (yang kafir itu) orang-orang yang tidak mengerti.



Sebagai penutup, jelaslah kepada kita bahawa di dalam dakwah Nabi Ibrahim yang diceritakan di dalam Al-Quran tidak hanya sekadar satu cerita dan pengkisahan biasa sahaja, tetapi mengandungi pelbagai pengajaran dan iktibar kepada pembaca-pembaca Al-Quran khususnya. Manhaj-manhaj yang digunakan oleh Nabi Ibrahim dalam menyampaikan dakwahnya jelas sekali merupakan contoh yang terbaik kepada semua individu pendakwah yang sentiasa berusaha untuk menyebarkan mesej dakwahnya. Seandainya contoh-contoh yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim ini dapat dijadikan ikutan dan amalan soleh pendokong-pendokong gerakan dakwah pada hari, gerakan dakwah pasti akan mempunyai masa depan yang lebih gemilang. Allah SWT berfirman (Yusuf, 13) :

Maksudnya :

Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam Al-Quran) bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab ugama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman.







BIBLIOGRAFI
As-Sayuti, cAbdur-Rahman Jalaluddin, 1413H/1993M

Ad-Dur Mansur Fit Tafsiril Ma’thur, Beirut : Darul Fikr



Ibnu Hajar Asqalani, Ahmad bin Ali bin Hajar, 1420H/2000M

Fathul Bari Bisyarhi Shahih Bukhari, Beirut : Darul Fikr



Ibnu Jarir At-Thabari, Muhammad bin Jaafar, 1419H/1999M

Jamicul Bayan can Ta’wilil Quran, Beirut : Darul Fikr



Ibnu Kathir Al-Qurasyi Ad-Dimisyqi, 1417H/1997M

Al-Bidayah Wan Nihayah, Beirut : Darul Fikr



Ibnu Kathir Al-Qurasyi Ad-Dimisyqi, 1414H/1994M

Tafsir Al-Quran Al-cazim, Beirut : Darul Fikr



Muhammad Ar-Razi Fakhruddin Ibnu cAllamah Dhiauddin cUmar, 1415H/1995M

Tafsir Fakhrur-Razi, Beirut : Darul Fikr



Solah Al-Khalidi, 1417H/1997M

Al-Qashash Al-Qurani : cArdhu Waqa’ica Wa Tahlilu Ahdath,

Damsyik : Darul Qalam



Tidak ada komentar:

Posting Komentar